BESUT: Beberapa projek penting di negeri-negeri Pantai Timur yang belum disiapkan sebelum ini, tidak diangkat semula semasa pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) lantas menyebabkan kelompongan dalam pelan pembangunan lima tahun itu.
Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, hasil perbandingan antara RMK13 dan RMK12 menunjukkan, terdapat ketidakselarasan khususnya bagi projek yang masih dalam pelaksanaan di negeri ditadbir pembangkang seperti Kelantan dan Terengganu.
“Antara projek yang sepatutnya diberikan kesinambungan adalah pembangunan infrastruktur Taman Perindustrian Sistem Binaan Berindustri (IBS) di Labok, Machang yang kini dijangka siap sepenuhnya hanya pada suku pertama tahun depan.
“Begitu juga projek Lebuh Raya Pantai Timur Fasa Tiga (LPT3) yang tidak disebut langsung dalam RMK13. Ini mengundang persoalan dalam kalangan rakyat Kelantan dan Terengganu, apakah ia tidak lagi menjadi keutamaan?,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia selepas Ceramah Umum Perdana sempena Ijtimak Kepimpinan Pas Negeri Terengganu 2025 di Dewan Merdeka, Kota Putera Square di sini.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, kerajaan perlu mengambil sikap adil tanpa mengenakan diskriminasi terhadap negeri-negeri pembangkang yang turut menyumbang kepada pembangunan negara.
“Kita tidak mahu wujud diskriminasi bersandarkan perbezaan politik atau alasan sumber kewangan negara yang tidak mencukupi. Kalau projek LRT (Transit Aliran Ringan) Pulau Pinang boleh mendapat peruntukan berbilion ringgit, mengapa projek di negeri lain diketepikan?
“Kerajaan seharusnya memastikan kesinambungan projek-projek yang telah diluluskan sebelum ini dan bukannya menamatkannya secara senyap tanpa makluman jelas di Parlimen,” katanya.
Beliau berkata, Kerajaan Pusat hari ini tidak dinafikan melaksanakan beberapa inisiatif asas seperti pembinaan sekolah dan hospital di negeri pembangkang. – UTUSAN










