Program MEKAR JPN berjaya selesai 24,863 permohonan pelbagai kes

Program MEKAR JPN berjaya selesai 24,863 permohonan pelbagai kes

SAIFUDDIN Nasution Ismail menyampaikan MyKad pada Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 dan Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 1,633 program MEKAR telah dilaksanakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) setakat 31 Julai lalu dengan kira-kira 24,863 permohonan telah berjaya diuruskan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, selain menguruskan permohonan kad pengenalan, sebanyak 20,792 khidmat nasihat telah direkodkan semasa program MEKAR diadakan.

Bagi program MEKAR DIDIK, katanya, JPN telah berjaya menyelesaikan 12,101 masalah keciciran dokumentasi bagi kanak-kanak berusia 12 tahun setakat Jun lalu.

“MEKAR DIDIK adalah program khusus bagi anak-anak yang di usia persekolahan yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri atas pelbagai sebab.

“Saya gembira untuk memaklumkan bahawa sasaran 12,101, yang kami diberi nama (pelajar keciciran dokumen) oleh Kementerian Pendidikan (KPM) telah berjaya dibantu,” katanya dalam sidang akhbar selepas Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia Peringkat KDN serta Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di sini hari ini.

Sementara itu, bagi program MEKAR Diaspora pula, Saifuddin berkata, pihak JPN akan berada di Melbourne, Australia dari 14 hingga 28 September ini dan diikuti London dari 5 hingga 17 Oktober depan bagi membantu rakyat Malaysia di luar negara yang berdepan kesulitan mendapatkan dokumen pengenalan diri yang dikeluarkan JPN.

“Maknanya kita bawa pegawai JPN ke sana untuk satu tempoh. Semua rakyat Malaysia yang tinggal di negara berkenaan, kalau dia ada masalah dokumentasi, mereka tak payah balik (Malaysia) dengan kos yang besar tapi kita pergi (ke sana).

“Kita bawa staf kita pergi itu jauh lebih kecil kos berbanding dengan kalau semua rakyat Malaysia yang memerlukan perkhidmatan kami perlu pulang ke negara ni,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Saifuddin berkata, dua peraturan JPN telah ditambah baik di bawah inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) yang bertujuan mengurangkan kerenah dan bebanan birokrasi yang tidak lagi relevan.

“Antara inisiatif RKB yang telah dilaksanakan JPN ialah mempercepatkan proses permohonan Pendaftaran Lewat Kelahiran di bawah umur 5 tahun yang lahir di fasiliti kesihatan kerajaan daripada tiga bulan kepada 30 hari.

“Dan mempercepatkan proses pengeluaran cabutan atau salinan Sijil Daftar Kelahiran di Luar Negara (Borang H) daripada 52 hari ke tujuh hari,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN