PRN Sabah: Warisan tanding 73 kerusi DUN untuk satukan rakyat

PRN Sabah: Warisan tanding 73 kerusi DUN untuk satukan rakyat

MOHD. SHAFIE APDAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUDAT: Hasrat Parti Warisan (Warisan) untuk bertanding di semua 73 buah kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 adalah untuk memastikan penyatuan rakyat negeri itu.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, tidak akan berlaku permuafakatan suara rakyat Sabah sekiranya menerusi gabungan parti-parti yang berbeza malah dilihat hanya akan menyebabkan perpecahan.

Katanya, gabungan-gabungan parti yang terbentuk dibimbangi mempunyai tujuan, matlamat dan kehendak yang berbeza di antara parti komponen, serta kepentingan masing-masing.

“Mungkin mereka ada persamaan daripada segi ingin menjadi ‘Yang Berhormat’, calon dan meraih undi tetapi bagaimana dengan masalah rakyat?

“Rakyat masih menghadapi masalah air, elektrik dan peluang pekerjaan, dan kini risau untuk menghantar anak mereka ke sekolah.

“Jadi apabila kami menyatakan akan bertanding 73 kerusi, tujuannya adalah untuk menyatukan rakyat dan mengelakkan perpecahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Inspirasi DSSA Bersama Rakyat Kudat di Dewan Tun Datuk Mustapha sini hari ini.

Mohd. Shafie dalam pada itu turut melahirkan keyakinan Warisan akan berjaya mempertahankan kerusi DUN sedia ada dalam PRN nanti termasuk di Tanjong Kapor.

“Kami akan letak calon-calon di semua kerusi untuk memastikan kebulatan suara rakyat Sabah dan menjayakan kehendak Sabah. Saya yakin pada kali ini pun Warisan boleh pertahankan,” katanya yang turut memberitahu calon yang akan mewakili Warisan akan diumumkan selepas  DUN Sabah dibubarkan kelak.

Beliau turut mengulangi bahawa Warisan akan memastikan setiap calon mereka menandatangani kontrak untuk mengelakkan mereka daripada melompat ke parti lain. –  UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN