Prasarana angkat Malaysia sebagai hab mobiliti bandar ASEAN - Utusan Malaysia

Prasarana angkat Malaysia sebagai hab mobiliti bandar ASEAN

prasarana
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) menutup tirai ASEAN Sustainable Urban Forum (ASUF) 2025 sebagai peneraju mobiliti mampan di rantau ini sekali gus mengangkat imej Malaysia di pentas antarabangsa.

Sebagai Penyedia Mobiliti Bandar Rasmi, Prasarana bukan sahaja menyediakan perkhidmatan tren dan bas sepanjang acara tiga hari itu, malah mempamerkan pelbagai inisiatif menggabungkan elemen pendidikan, keterangkuman sosial dan inovasi teknologi.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Amir Hamdan berkata, kerjasama strategik ini menjadi platform penting untuk mempamerkan keupayaan Malaysia membangunkan sistem pengangkutan bandar yang lestari.

“Inisiatif ini selari dengan aspirasi negara untuk menjadi peneraju mobiliti mampan di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.

Antara pengisian menarik termasuk program ‘Ronda-Ronda Kota Raya’ yang memberi peluang kepada kanak-kanak merasai pengalaman menaiki tren Rapid KL, lawatan teknikal delegasi ASEAN ke Pusat Kawalan Operasi dan Depoh Laluan Kelana Jaya serta penyertaan dalam Urban Expo ASUF 2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 12 hingga 14 Ogos lalu.

Pameran tersebut turut menampilkan pelbagai teknologi hijau dan penyelesaian pengangkutan mesra alam di mana Prasarana memperkenalkan langkah baharu memperluas akses perkhidmatan, meningkatkan pengalaman pengguna dan mengurangkan jejak karbon.

Pengiktirafan sebagai Penyedia Mobiliti Bandar Rasmi mencerminkan keyakinan penganjur terhadap keupayaan Prasarana sebagai pengangkutan awam utama negara, seiring dengan agenda kerajaan membangunkan sistem bersepadu, mesra pengguna dan mampan.

Prasarana yakin penglibatan aktif dalam acara bertaraf antarabangsa seperti ASUF akan membawa manfaat langsung kepada rakyat melalui sistem pengangkutan awam yang lebih efisien, selamat dan mesra alam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN