SUNGAI GOLOK, THAILAND: Sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah dengan nombor pendaftaran Malaysia antara 13 aset bernilai hampir RM2 juta yang disita pihak berkuasa Thailand dalam operasi besar-besaran menumpaskan sindiket penyeludupan dadah di sempadan, sejak dua hari lalu.
Jurucakap polis daerah berkata, operasi khas itu dilaksanakan secara serentak di lima lokasi sekitar Sungai Golok pada Khamis, melibatkan kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9, Polis Wilayah 9 serta Pusat Operasi Khas Wilayah Sempadan Selatan.
Menurutnya, dalam operasi di lima kawasan di sekitar daerah ini pada Khamis lalu, beberapa suspek ditahan manakala selebihnya melarikan diri dan gerakan memburu mereka giat dijalankan.
“Operasi ini susulan penahanan seorang pengedar methamphetamine seberat 650 kilogram oleh Bahagian Siasatan Wilayah 9 Polis Wilayah di Ban LuBo Kong, Mukim Pasemas, Sungai Golok, bulan lalu.
“Sebanyak 13 aset dipercayai ada kaitan dengan sindiket dadah termasuk empat kenderaan mewah, motosikal berkuasa tinggi dan dua jet ski bernilai hampir RM2 juta dirampas.
“Selain senjata api, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah yang dirampas itu menggunakan nombor pendaftaran Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Jurucakap itu memberitahu, pihak berkuasa Thailand akan bekerjasama dengan polis Malaysia dalam mengembangkan siasatan berkaitan sindiket penyeludupan dadah rentas sempadan kedua-dua negara.
Katanya, polis juga sentiasa memantau kegiatan pengedaran dan penyeludupan dadah yang aktif di sekitar daerah ini. – UTUSAN










