Polis rampas 28,300 karton rokok disyaki tidak bercukai kastam bernilai RM13.45 juta

Polis rampas 28,300 karton rokok disyaki tidak bercukai kastam bernilai RM13.45 juta

SHAZELI Kahar (tiga dari kanan) menunjukkan rokok tidak bercukai kastam yang dirampas di Plaza Tol MEX, Lebuhraya KL-Putrajaya, Cyberjaya pada 3 Ogos lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Sebanyak 28,300 karton rokok disyaki tidak bercukai kastam bernilai RM13.45 juta berjaya dirampas di Plaza Tol MEX, Lebuhraya KL-Putrajaya, Cyberjaya di sini pada 3 Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata, ia susulan penahanan dua lelaki masing-masing berusia 35 dan 38 tahun yang sedang menaiki sebuah lori bonded (lori pengangkut barang) jenis Hino.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan telah membawa kepada penemuan pelbagai jenis rokok yang disyaki tidak bercukai kastam.

“Hasil operasi tersebut, pihak polis telah berjaya merampas sebanyak 566 master case (satu master case = 50 karton rokok) tidak sah yang terdiri daripada pelbagai jenama,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Katanya, selain rokok, turut dirampas ialah sebuah lori jenis Hino, satu anak kunci lori, dua telefon bimbit dan empat helai kertas pesanan penghantaran.

Shazeli berkata, hasil semakan mendapati, kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah dan penyalahgunaan dadah.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada 10 kali amaun duti kastam atau RM100,000 (yang mana lebih besar), dan tidak melebihi 20 kali nilai barang atau RM500,000 (yang mana lebih besar), atau penjara tidak kurang daripada enam bulan dan maksima lima tahun, atau kedua-duanya sekali.

“Kedua-dua lelaki itu telah dituduh di Mahkamah Majistret Sepang pada 7 Ogos lalu dan sebutan semula kes pada 9 September depan,” katanya.

Katanya, kejayaan tangkapan dan rampasan rokok tidak berkastam itu mencerminkan komitmen berterusan polis dalam membanteras jenayah penyeludupan barangan tidak bercukai yang boleh menjejaskan hasil negara serta keselamatan dan ketenteraman awam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN