PETALING JAYA: Polis masih melengkapkan siasatan berhubung penganjuran program motivasi rumah tangga eHati yang didakwa melakukan aktiviti tidak bermoral di sebuah pusat konvensyen.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, status siasatan masih aktif dengan beberapa aspek sedang di ambil tindakan susulan.
“Setakat ini, pihak polis sedang berkolaborasi dengan beberapa agensi berkaitan bagi membantu melengkapkan siasatan, ” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Pada 20 Julai lalu, Polis Selangor sebelum ini memaklumkan seramai 90 individu telah dirakam keterangan berhubung siasatan yang dijalankan itu termasuk fasilitator, peserta serta kakitangan syarikat yang terlibat.
Sebelum ini, Mahkamah Majistret Shah Alam menolak permohonan pihak polis untuk menyambung reman terhadap pasangan suami isteri pengasas program motivasi rumah tangga eHati, seorang anak mereka dan tiga lagi individu.
Ia membabitkan siasatan kes mengaibkan seseorang, berkelakuan tidak senonoh dan dakwaan melakukan jenayah di bawah kategori kesalahan kecil.-UTUSAN










