TELUK INTAN: Polis sedang mengesan lima lagi individu bagi membantu siasatan kes merusuh ketika perlawanan bola sepak di Padang Speedy, di sini Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, pihaknya telah pun menahan tujuh lelaki berhubung kejadian itu untuk siasatan lanjut.
Katanya, kesemua mereka yang berusia 21 hingga 31 tahun itu bagaimanapun telah dibebaskan hari ini dengan jaminan polis.
“Lima suspek ini sedang dikesan bagi tujuan melengkapkan siasatan. Kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara minggu ini bagi mendapatkan arahan lanjut,” katanya di sini hari ini.
Terdahulu, polis membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh susulan pergaduhan ketika separuh masa kedua perlawanan bola sepak di Padang Speedy.
Difahamkan, kejadian pada pukul 5 petang itu bermula apabila seorang pemain melakukan terjahan keras terhadap pemain pasukan lawan sehingga mengakibatkan pertelingkahan antara mereka.
Pertelingkahan itu kemudian menyebabkan pergaduhan besar membabitkan semua pemain serta dua penonton selain pengadil yang turut diserang oleh beberapa individu. – UTUSAN