MARANG: Walaupun berbelas kali bertempur dengan pengganas komunis di hutan semasa operasi, seorang bekas Komando 69 (VAT 69) bersyukur tidak pernah cedera dan masih dipanjangkan umur sehingga kini.
Che Yak@ Embong Ngah, 77, dari Kampung Rhu Muda, di sini berkata, ada dalam kalangan rakan seperjuangannya gugur di medan perang selain meninggal dunia atas pelbagai faktor termasuk masalah kesihatan.
Katanya yang merupakan antara 30 individu trup nukleus pertama Komando 69, pengalaman ketika operasi di Sibu, Sarawak sekitar 1970 hingga 1971 antara memori paling kuat terpahat dalam ingatannya.
”Selepas menamatkan latihan asas komando selama enam bulan di Fort Kemar Grik, Perak setelah dilatih sepasukan jurulatih dari United Kingdom, Special Air Service Regiment (SAS), kami dihantar menyertai operasi memnbanteras Komunis Parti Rakyat Kalimantan Utara (Paraku) di Sarawak.
“Operasi pertama disertai ini, kubu pasukan diserang hendap musuh lewat malam sehingga pertempuran berlanjutan ke awal pagi. Syukur, kesemua 30 anggota VAT 69 terlibat dilindungi Allah SWT, kami semua selamat.
“Musuh yang berideologi Mao Zedong lari meninggalkan kawasan itu tetapi tinggalkan buku doktrin berwarna merah dan dokumen,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, di sini hari ini.
Dia yang mesra dipanggil Pok Yak berkata, penglibatannya dalam pasukan elit VAT 69 bermula selepas menyertai Polis Hutan atau Field Force pada 8 Jun 1968.
Katanya, tidak berapa lama kemudian, sejumlah anggota Polis Hutan dipilih menjalani sesi latihan rintis dan hanya 30 orang termasuk dirinya menamatkan latihan asas komando sekali gus mula bertugas sebagai skuad pertama VAT 69 pada 25 Oktober 1969.
Pok Yak yang berkhidmat selama 36 tahun dalam pasukan keselamatan negara berkata, sepanjang perkhidmatannya, lebih 10 operasi besar menentang pengganas komunis termasuk di Sarawak, Perak dan operasi sempadan bersama Polis Thailand disertainya.
“Kenangan paling sedih apabila pegawai yang saya rapat gugur selepas kakinya putus terkena jerangkap samar di Sungai Siput, Perak. Saya tidak dapat menahan air mata apabila mendapat berita dia meninggal dunia di tengah hutan.
“Seorang rakan baik turut terkorban ditembak komunis di dalam hutan di Hulu Kinta, Perak. Sedih pilu semuanya ada,” ujarnya.
Katanya lagi, selepas tiga tahun berkhidmat dalam pasukan elit VAT 69, dia dipindahkan ke dalam unit lain kerana mengalami penyakit apendiks.
Kerjayanya sebagai Polis Diraja Malaysia berakhir di Ibu pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu pada 1 Februari 2004. Sepanjang menabur bakti antara penganugerahan diterimanya ialah Pingat Pangkuan Negara, Pingat Darjah Bentara Pasukan Polis, Pingat Jasa Pahlawan Negara, Anugerah Perkhidmatan Setia dan terbaharu surat penghargaan daripada Ketua Polis Daerah Marang, Superintenden Mohd. Sofian Redzuan. – UTUSAN










