KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) menggesa ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak supaya tidak mengambil bahagian dalam sesi pengundian Rang Undang-undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) 2025 yang dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.
Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, perkara itu wajar kerana undang-undang berkenaan hanya terpakai di Semenanjung manakala Sabah dan Sarawak tidak terikat dengan pelaksanaan undang-undang tersebut.
“Ada rakan-rakan kami dari Sabah dan Sarawak, saya mohon supaya tidak mengambil bahagian. Kita semua orang Malaysia, jadi perlu berlaku adil kepada semua.
“Kalau undang-undang ini tidak terpakai kepada anda, sebaiknya jangan terlibat. Benarkan kami di Semenanjung membuat keputusan. Selama ini banyak isu Sabah dan Sarawak kami turut fikirkan, maka kali ini saya harap mereka boleh berkecuali,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.
Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata, Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berhak mengundi kerana mempunyai kediaman di Semenanjung.
“Ronald pada awalnya mahu berkecuali, tetapi kerana dia ada rumah di Semenanjung, saya kata dia boleh mengundi,” katanya.
Pada masa sama, Hamzah turut menggesa ahli Parlimen UMNO supaya turut berkecuali sekiranya undi belah bahagi dijalankan bagi menegaskan pendirian mereka yang selama ini membela nasib rakyat golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40).
“Ahli-ahli Parlimen UMNO selama ini memperjuangkan nasib rakyat B40 yang tidak mampu memiliki rumah mahal. Jadi, kalau tidak mahu menolak pun, saya mohon supaya mereka berkecuali.
“Kalau mereka berkecuali, saya akan maklumkan kepada rakyat bahawa ahli Parlimen UMNO turut bersama dengan rakyat menangguhkan RUU ini,” katanya.
Hamzah berkata, PN akan terus konsisten meneliti setiap dasar kerajaan demi memastikan undang-undang yang diluluskan benar-benar berpihak kepada rakyat.
“Insya-Allah, rakyat dapat melihat bahawa kami adalah kumpulan yang berhati-hati menentukan sama ada undang-undang yang dibawa ini untuk kepentingan rakyat atau sebaliknya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya berada dalam keadaan bersedia untuk berbahas sekiranya RUU PSB dibentangkan pada hari ini.
“Setakat ini, Setiausaha Dewan Rakyat belum meminta senarai berapa orang daripada PN diberi ruang berbahas. Tetapi kami sentiasa bersedia,” katanya. – UTUSAN










