PM perlu beri bukti, bukan rujuk video tidak sah - Ahmad Fadhli

PM perlu beri bukti, bukan rujuk video tidak sah – Ahmad Fadhli

AHMAD FADHLI SHAARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan sama ada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merujuk kepada sebuah video di platform TikTok yang mendakwa terdapat pihak menentang pemotongan subsidi kepada warga asing.

Menurut beliau, video berkenaan yang dikaitkan dengan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dipadamkan, manakala akaun TikTok tersebut dipenuhi dengan kandungan berunsur fitnah dan menyerang Ahli Parlimen PN menggunakan fakta palsu.

“Adakah Perdana Menteri merujuk kepada video di dalam akaun TikTok ini ketika menyebut Tan Sri Muhyiddin menentang potongan subsidi kepada warga asing? Saya dimaklumkan video itu telah dipadamkan.

“Tetapi apabila kita lihat akaun TikTok tersebut, ia sarat dengan video-video yang menyerang Ahli Parlimen PN dengan fakta yang tidak benar. Entah siapa yang buat, wallahualam,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Tambah beliau, jika benar Perdana Menteri merujuk kepada sumber video sedemikian, ia adalah sesuatu yang amat dikesali kerana menunjukkan kecuaian pihak yang bertanggungjawab menyemak maklumat bagi pihak Perdana Menteri.

“Seharusnya Perdana Menteri wajib mempunyai maklumat yang tepat dan benar sebelum memasuki Dewan Rakyat. Peruntukan untuk Pejabat Perdana Menteri bukan sedikit dan pegawai-pegawai yang ada sewajarnya membantu memastikan ketepatan maklumat,” ujarnya.

Isu ini timbul selepas Anwar dalam sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat semalam dilaporkan berkata, beliau menerima laporan terdapat Ahli Parlimen pembangkang yang mempertahankan hak warga asing untuk turut mendapat manfaat daripada penyasaran subsidi.

Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid kemudian bangkit meminta Perdana Menteri mendedahkan identiti Ahli Parlimen yang dimaksudkan. 

Namun, Anwar menjawab bahawa Rosol sepatutnya membaca kenyataan Muhyiddin terlebih dahulu.

Susulan itu, Muhyiddin menafikan pernah membuat sebarang kenyataan yang membawa maksud mempertahankan hak warga asing dalam isu subsidi RON95. 

Dalam kenyataan yang dimuat naik di laman media sosialnya, beliau berkata, PN konsisten sejak dahulu bahawa manfaat pelaksanaan subsidi perlu diutamakan untuk rakyat tempatan.

Justeru, beliau menggesa Perdana Menteri mengemukakan bukti kenyataan tersebut atau membuat permohonan maaf. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN