PM lancar Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan, MMU

PM lancar Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan, MMU

ANWAR Ibrahim merasmikan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) Universiti Multimedia (MMU) di Cyberjaya. - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini merasmikan Fakulti Kecerdasan Buatan dan Kejuruteraan (FAIE) Universiti Multimedia (MMU) di kampus Cyberjaya, di sini sekali gus memperkukuh peranan Malaysia dalam bidang kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital.

FAIE adalah fakulti terbaharu universiti itu yang memberi penekanan kepada pembangunan kepakaran dalam AI gunaan, termasuk bidang Robotik Pintar, dengan tawaran pengajian di peringkat sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Pengerusi Telekom Malaysia (TM), Datuk Zainal Abidin Putih berkata, pelancaran fakulti itu turut disokong melalui AI Transformation Centre (AIX) hasil kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta MMU dengan pelaburan bernilai RM37 juta.

Beliau berkata, AIX yang dilengkapi 13 makmal canggih berperanan sebagai hab inovasi, kerjasama kerajaan-industri-akademia selain membantu pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti luar bandar.

“Sukacita saya berkongsi bahawa seramai 20 pelajar baru sahaja memulakan pengajian mereka dalam program Ijazah Sarjana Muda Sains (Kecerdasaan Buatan Gunaan – Applied AI) sebagai perintis.

“Kami menyasarkan tambahan 50 orang pelajar lagi menjelang akhir tahun ini. Mereka inilah yang bakal peneraju gerakan AI di negara,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran FAIE MMU di kampus Cyberjaya, di sini hari ini.

Katanya, penubuhan fakulti baharu ini lahir daripada keyakinan bahawa AI bukan sekadar peranti pintar, bukan sekadar kuasa dan bukan sekadar baris-baris kod.

Jelasnya lagi, apa yang lebih penting adalah bagaimana mempersiapkan anak-anak muda dalam menggunakan kekuatan AI demi memberi manfaat sebenar kepada kehidupan, kepada masyarakat dan kepada negara.

Terdahulu, pada majlis sama, MMU dan MCMC memeterai kerjasama melalui AIX dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi memperkukuh keupayaan pengajaran dan penyelidikan FAIE. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN