SERDANG: Rakyat Malaysia mesti menolak mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan negara atas dasar kaum, agama atau wilayah kerana tindakan itu hanya meruntuhkan masa depan negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tiada negara boleh bertahan jika menerima hasutan kebencian antara rakyat khususnya Malaysia sebagai sebuah negara terdiri masyarakat pelbagai kaum dan agama yang tidak boleh dikorbankan hanya sentimen perbezaan.
Katanya, Malaysia harus bekerja keras mempertahankan kesatuan yang dibina sejak 68 tahun lalu dengan menjaga sentimen antara satu sama lain.
“Berilah cadangan apa pun, termasuk mutakhir ini, pembangunan semula bandar masih dilihat dari segi kaum, masih ditanam dan dihasut rasa takut.
“Kita tidak boleh mengenepikan kepentingan kaum masing-masing. Apa pun saya bicarakan, saya tetap Melayu, saya bangga dengan bahasa saya, bahasa Melayu dan kehebatan budaya Melayu yang agung. Tapi tidak wajar kebanggaan ini meremehkan, memadamkan, apa lagi menghina yang lain,” katanya.
Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Perdana Hari Kebangsaan 2025 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Anwar berkata, kemerdekaan sebenar Malaysia hanya dapat dicapai apabila negara ini bebas daripada rasuah, penyeludupan dan kartel yang sekian lama melemahkan negara.
Katanya, kekuatan Malaysia juga terletak pada kekuatan rakyat yang mesti terus menolak amalan rasuah.
Beliau berkata kerajaan tekad memerdekakan negara daripada penyelewengan dan rasuah serta memerangi kartel puluhan yang merosakkan ekonomi negara.
“Kerajaan Madani memecahkan tembok kartel dan kita terus berperang. Saya panggil penguat kuasa dan katakan perangi mereka, perangi kartel dan kumpulan yang menggunakan cara haram dan khianat untuk merosakkan negara ini. Kita tidak tolak ansur.
“Kartel ayam kita pecahkan. Sudah berapa lama? Sudah puluhan tahun, mampu kita pecahkan, disebabkan tekad politik dan semangat rakan-rakan dalam bidang penguatkuasaan.
“Apakah sudah sempurna? Tidak. Apakah sudah mampu kita hentikan penyeludupan? Tidak, masih ada dan sebab itu semangat kemerdekaan ini bermakna tekad kita merdeka dan melepaskan negara daripada segala bentuk kecurangan, rasuah dan kegiatan haram,” katanya.
Anwar berkata, perpaduan merupakan asas kejayaan negara sejak awal penubuhannya dan mengingatkan bahawa kemerdekaan dicapai hasil pengorbanan besar yang tidak boleh dilupakan oleh generasi baharu.
“Anak-anak muda mesti sedar bahawa keamanan dan keharmonian ini harus dipertahan. Jangan biarkan ada pihak yang cuba mengadu domba dan mengoyak kesatuan yang sudah kita bina,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, meskipun kerajaan berusaha menurunkan defisit fiskal setiap tahun bagi mengurangkan beban hutang negara, namun peruntukan untuk negeri dan kebajikan rakyat tetap ditingkatkan.
“Orang mual bila saya sebut kita warisi hutang lebih RM1.5 trilion, tetapi itu kenyataan. Apakah anak-anak mampu bayar jika hutang meningkat RM1.5, RM1.7, RM1.8 trilion? Tidak mampu. Sebab itu tata kelola mesti berlandaskan disiplin,” katanya.-UTUSAN










