PKS sukar laksana gaji wajar, untung diperoleh masih kecil

PKS sukar laksana gaji wajar, untung diperoleh masih kecil

LAPORAN muka hadapan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kira-kira 70 peratus syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini berdepan kesukaran untuk melaksanakan pembayaran gaji wajar.

Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Sementa), Datuk William Ng berkata, banyak PKS masih beroperasi dengan margin keuntungan yang sangat kecil dan berdepan tekanan kos yang tinggi, selain masalah kenaikan harga bahan mentah serta cabaran dalam rantaian bekalan.

Namun katanya, syarikat PKS tetap menyokong pelaksanaan gaji wajar yang bersyarat termasuk melaksanakan secara ber­fasa dan disokong dengan da­sar yang membantu meningkatkan produktiviti, automasi dan akses kepada pasaran sektor berkenaan.

“Biarpun berdepan detik ke­sukaran, ini tidak bermaksud PKS tidak menyokong prinsip gaji wajar.

“Sebaliknya, kami memerlukan lebih banyak masa dan bantuan seperti insentif cukai, subsidi latihan dan kemudahan automasi untuk sampai ke tahap yang mampu membayar gaji yang lebih tinggi secara mampan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan rakyat Malaysia memerlukan pendapatan minimum RM3,000 sebulan bagi menampung kehidupan asas terutama di ibu negara dan bandar besar lain. Angka itu adalah pendapatan wajar berdasarkan situasi ekonomi semasa di negara ini.

Menurut William, pelaksa­naan gaji wajar bagi syarikat besar, terutamanya yang tersenarai atau mempunyai pelaburan asing lebih mudah kerana mereka memiliki margin keuntungan yang lebih tinggi.

Dalam pada itu, Felo Kehormat Institut Masa Depan Malaysia (Masa), Datuk Dr. Madelline Berma berkata, sektor PKS masih bergantung kepada pekerja yang sanggup menerima kadar upah yang rendah.

“Bagi syarikat kecil dan sederhana ia amat sukar untuk dilaksanakan. Lagipun upah di­tentukan penawaran dan per­mintaan buruh. Begitu juga dengan syarikat PKS. Masih ramai bergantung kepada pekerja asing, ada yang sanggup me­nerima gaji rendah,” jelasnya.

Ditanya sama ada pelaksanaan gaji wajar memberi kesan kepada tarikan minat pelabur, katanya ia bukanlah penentu.

“Malaysia tidak memasarkan dirinya destinasi pelaburan buruh murah. Pelaburan dicorak oleh kestabilan politik, dasar ekonomi negara, insentif pelaburan, kualiti infrastruktur, daya saingan dan kemahiran pekerja,” ujarnya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN