TUMPAT: Pintu sempadan Malaysia-Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Pengkalan Kubor di sini, sesak apabila rakyat Malaysia mengambil peluang bercuti ke Thailand sempena cuti Hari Kebangsaan.
Tinjauan Utusan Malaysia semalam mendapati, kenderaan mula beratur seawal 7 pagi menunggu giliran untuk menaiki feri menyeberangi Sungai Golok dari jeti Pengkalan Kubor ke Tak Bai, Thailand.
Seorang pelancong, Mohd. Razaki Abdullah, 48, berkata, kenderaan perlu beratur hampir 300 meter menunggu giliran menaiki feri.
“Hampir setengah jam untuk melepasi kesesakan itu kerana banyak kenderaan masuk ke Thailand. Walaupun terpaksa beratur panjang tetapi berjalan lancar kerana dua buah feri iaitu feri Thailand dan feri Jabatan Kerja Raya (JKR) sebelah Malaysia beroperasi,” katanya.
Mohd. Habibullah Mohd. Rashid, 48, pula berkata, dia ke Thailand untuk makan-makan dan pulang semula ke Malaysia pada hari sama.
Katanya, hampir setiap minggu dia masuk ke Thailand.
“Setiap Khamis dan Jumaat memang berlaku kesesakan di pintu sempadan ini. Tetapi hari ini lagi ramai pada hari minggu biasa kerana Kelantan cuti tiga hari,” katanya.
Sementara itu, seorang penduduk kampung Pengkalan Kubor, Hidayah Mat Ghani, 35, berkata, kesesakan hingga di luar pagar ICQS Pengkalan Kubor adalah situasi biasa setiap Jumaat.
Katanya, pelancong menunggu di pintu pagar ini pada pukul 7 pagi lagi kerana mahu menjadi orang terawal dapat menaiki feri.
Halimah Seman, 50, pula berkata, dia sudah menjangka ICQS Pengkalan Kubor sesak kerana ramai rakyat Malaysia melancong ke Thailand setiap kali cuti panjang.
Semalam, akhbar ini melaporkan, dianggarkan RM39 juta dibelanjakan rakyat Malaysia ke Thailand dalam tempoh tiga hari cuti hujung minggu dan sambutan Hari Kebangsaan khususnya di Narathiwat, Pattani, Hatyai dan Yala.
Jumlah itu dianggarkan berdasarkan perbelanjaan minimum RM522 setiap pengunjung atau keluarga, melibatkan kira-kira 75,000 pengunjung berpandukan tempahan yang dibuat.
Presiden Persatuan Industri Pelancongan Halal Thai-ASEAN (TAHTA), Aida Oujeh berkata, kemasukan itu memberikan limpahan ekonomi yang lebih baik kepada empat wilayah tersebut berbanding RM12.82 juta untuk tempoh sama pada tahun lalu. – UTUSAN










