RANTAU PANJANG: Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeludup masuk 70 guni mercun bola ke pasaran tempatan selepas merampas bahan letupan itu di pangkalan haram Terusan di sini semalam.
Rampasan bernilai RM89,000 termasuk pacuan empat roda itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan pukul 1.30 petang.
Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, semasa melakukan rondaan anggota bertugas telah terserempak dengan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum cuba menahannya.
Menurutnya, bagaimanapun pemandu pacuan empat roda itu melarikan diri menaiki perahu ke Thailand sebaik menyedari kehadiran anggota PGA.
“Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan mendapati terdapat 70 guni berisi mercun bola dipercayai untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan memberitahu, rampasan itu diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.-UTUSAN