KUALA LUMPUR: Penyanyi, Puteri Khareeza, mengakui pernah berdepan detik sukar apabila mengalami keguguran pada Disember tahun lalu ketika usia kandungan mencecah tujuh minggu.
Disebabkan pengalaman pahit itu, beliau dan suaminya yang juga ahli perniagaan, Mohd Shukor Kamaruddin, memilih untuk merahsiakan kehamilan terkini yang kini sudah memasuki usia enam bulan.
“Memang saya suka berahsia, kahwin pun berahsia jadi bila tahu mengandung saya dan suami ambil keputusan mahu rahsiakan dulu.
“Saya pernah gugur pada bulan 12 yang lalu ketika kandungan berusia tujuh minggu. Jadi, kami tidak mahu perkara tentang hamil dihebohkan awal sebab takut tak jadi dan sebagainya.
“Tapi tak boleh nak rahsia sekarang sebab saya dah membesar dengan jayanya. Bukan saya saja tapi perut saya pun membesar, sudah mula rasa mengah. Ramai tegur nampak ‘baby bump’ jadi saya beritahu sahajalah,” katanya.
Puteri Khareeza ditemui Utusan Malaysia semasa sidang media Anugerah Melodi Terhangat 2025 (AMT 2025) di Bangsar pada Khamis.
Bakal bergelar ibu, Puteri bagaimanapun lega kerana pengalaman hamil anak pertama berjalan dengan lancar tanpa sebarang komplikasi.
“Sebenarnya saya tak berdepan dengan ‘morning sickness’ langsung sejak trimester pertama. Tak ada muntah-muntah.
“Alhamdulillah kehamilan kali ini tak ada komplikasi. Saya dan suami selalu buat pemeriksaan. Kalau sakit ke apa memang saya terus berjumpa doktor dan kandungan sihat.
“Jantina pula rahsia walaupun saya dah tahu. Nanti dah hujung-hujung baru bagitahu,” jawabnya.
Walaupun tidak mengidam makanan tertentu seperti kebanyakan ibu hamil yang lain, Puteri bagaimanapun mengakui selera makannya semakin bertambah membuatkan berat badannya meningkat sehingga 10 kilogram.
“Cakap soal mengidam tak ada tapi saya makan banyak.
“Sebelum hamil berat saya ialah 46 kilogram (kg) dam sekarang dah 56kg, tambah 10kg,” katanya.
Terdahulu, Puteri Khareeza dan suaminya, Mohd. Shukor Khamaruddin berkahwin pada 24 Februari 2024 selepas empat bulan mengenal hati budi. -UTUSAN.