BUTTERWORTH: Lubang benam yang berlaku di Jalan Bagan Lalang di sini pada 26 Februari lalu berpunca daripada kerosakan paip pembentungan bawah tanah.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, hasil siasatan terperinci menggunakan kamera litar tertutup (CCTV) oleh Indah Water Konsortium (IWK) mengesan berlaku kerosakan pada jajaran paip di lokasi berkenaan.
“Buat masa ini, IWK akan melaksanakan kerja korekan segera bagi mengenal pasti tahap kerosakan sebenar pada paip berkenaan,” katanya hari ini.
Difahamkan, lubang benam yang berukuran kira-kira dua meter daripada segi diameter dan berkedalaman 1.5 meter itu adalah kejadian ketiga di lokasi sama, sejak tiga tahun lalu.
Zairil berkata, kerja-kerja mengenal pasti kerosakan dan pembaikan dijangka mengambil masa kira-kira tiga minggu memandangkan Jalan Bagan Lalang merupakan laluan utama penduduk.
“Kerja pembaikan hanya dibenarkan dilaksanakan pada waktu malam bagi mengurangkan gangguan trafik dan sepanjang tempoh itu, penutupan sebahagian jalan juga akan dilakukan dengan pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) serta penempatan pengawal bendera (flagman) di lokasi,” katanya.
Zairil berkata, langkah mitigasi jangka panjang turut dilaksanakan menerusi projek menaiktaraf Loji Rawatan Kumbahan Serantau di Mak Mandin serta pembinaan rangkaian paip pembentungan baharu di kawasan tadahan Butterworth North sejak 25 Jun 2024 bagi kerja awalan dengan pembinaan fizikal pula dijangka bermula April ini.
Katanya, apabila siap sepenuhnya menjelang Jun 2029, projek bernilai RM650 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) itu akan menggantikan jajaran paip sedia ada yang dihentikan penggunaannya. – UTUSAN










