KEPALA BATAS : Himpunan Solidariti Jalur Gemilang yang pada awalnya berlangsung secara aman tiba-tiba bertukar menjadi sedikit kecoh susulan provokasi yang dilakukan oleh sekumpulan individu di Bertam di sini, hari ini.
Individu serta wakil dari Lawyers For Liberty itu dilihat memegang sepanduk ‘Jangan Bersikap Zionist’ dan ‘Kesilapan Bukan Jenayah’ di hadapan kedai perkakasan yang terlibat dengan kontroversi pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik sebelum ini.
Situasi itu sekali gus menimbulkan kemarahan kumpulan penyokong yang berarak sehingga mencetuskan sedikit ketegangan.
Bagaimanapun, keadaan tersebut berjaya dikawal oleh pihak berkuasa khususnya anggota polis yang ditempatkan di sekitar kawasan berkenaan lebih awal.
Terdahulu, lebih 500 individu yang diketuai Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berarak sejauh lebih 1.4 kilometer (km) dari tapak pasar malam di Kepala Batas menuju ke premis terbabit kira-kira pukul 6 petang.
Selain UMNO Pulau Pinang, turut serta dalam himpunan itu ialah Ketua Armada Bersatu Malaysia, Muhammad Hilman Idham serta penyokong-penyokong mereka.
Difahamkan juga, ada dalam kalangan peniaga di sekitar kawasan berkenaan terpaksa menutup operasi mereka lebih awal bagi mengelakkan daripada terperangkap dalam kesesakan himpunan terbabit.-UTUSAN