PETALING JAYA: Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhammad Akmal Saleh menafikan dakwaan Pemuda DAP (DAPSY) bahawa menghina orang kurang upaya (OKU) susulan kenyataannya yang mencadangkan kad OKU diberikan kepada pemimpin sayap itu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau itu berkata, kenyataannya ditujukan khusus kepada DAPSY, bukannya kepada komuniti OKU secara umum, seperti yang cuba digambarkan oleh pihak tertentu.
Penjelasan itu dibuat selepas bekas ADUN DAP Selangor, Teng Chang Khim dalam satu hantaran di Facebook menggelarnya ‘berperangai seperti anjing liar’ yang memaparkan petikan satu artikel portal media berkaitan kenyataan Akmal, namun dipercayai telah dipadam.
Dr. Muhammad Akmal kemudian membalas kritikan itu menerusi platform sama dengan menegaskan bahawa beliau hanya mempertahankan bendera negara daripada dipersenda.
“Bila kita pertahankan bendera Malaysia dan tiada lagi isu yang mereka mahu pertahankan, akhirnya mereka tuduh kita sebagai anjing liar.
“Inilah perangai pemimpin mereka. Bukan sahaja yang muda bengap, pemimpin senior pun sama. Sebiji perangai babi hutan,” katanya secara sinis sambil menambah mungkin selepas ini ada pihak menuduh beliau menghina haiwan tersebut.
Sebelum ini, Setiausaha Organisasi DAPSY, Lim Zheng Han menggesa Dr Muhammad Akmal meletakkan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka kerana kenyataannya disifatkan sebagai penghinaan terhadap komuniti OKU dan menunjukkan ketidakmatangan kepimpinan.
Pertikaian ini bermula selepas DAPSY mengkritik tindakan Dr Muhammad Akmal yang beberapa kali membangkitkan isu Jalur Gemilang dikibarkan secara terbalik di sebuah sekolah Cina di Port Dickson, Negeri Sembilan yang dilaporkan berpunca daripada kesilapan seorang pekerja OKU.
Ketua Pemuda UMNO itu menegaskan bendera Malaysia mesti dihormati dan tidak boleh diperlekehkan, selain mengecam pihak yang menurutnya sering melakukan kesalahan berulang namun sekadar menunjukkan rasa kesal tanpa mengambil sebarang tanggungjawab. – UTUSAN










