IPOH: Perak merakam kemenangan pertama dalam Liga A1 Semi-Pro 2025-2026 apabila menumpaskan Perlis GSA FC 2-0 pada perlawanan di Kompleks Sukan Chepor di sini hari ini.
Jaringan pemain import, Christian Okwudiri Chukwu dan Kamal Arif Azrai Shakimar membolehkan Perak FA mengutip kemenangan ke atas pasukan dari utara itu.
Malah, jaringan Okwudiri adalah yang terpantas dalam saingan setakat ini kerana dilakukan ketika saingan baru berusia 11 saat.
Pemain dari Nigeria itu merembat bola dari tengah padang melepasi jangkauan penjaga gol Perlis, Kamarul Hilmi Adenan.
Sementara gol kedua pasukan tuan rumah hasil tanduk Kamal Arif yang berpunca daripada sepakan sudut pada minit ke-71.
Perak sepatutnya memenangi perlawanan dengan jaringan lebih besar jika memanfaatkan sekurang-kurangnya empat peluang terbuka untuk menjaringkan gol.
Anak buah Shamsul Saad nyata selesa beraksi di padang yang menjadi tempat latihan mereka setiap hari.
Pelawat cuba memberi saingan tetapi tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengelak kekalahan. – UTUSAN










