GERIK: Perak melakar sejarah tersendiri apabila memiliki tapak pendaratan helikopter atau helipad pertama dalam Hutan Simpan Kekal (HSK) di Semenanjung Malaysia bagi mempercepatkan operasi pemadaman kebakaran hutan.
Pembinaan helipad di HSK Kenderong itu berhampiran telaga tiub yang dibina hasil kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Perak dan Jabatan Perhutanan Perak.
Penolong Pengarah (Seksyen Ladang Hutan dan Inovasi) Jabatan Perhutanan Perak, Farhan Sukiman berkata, kemudahan helipad dan telaga air itu menandakan pencapaian penting dalam kesiapsiagaan pengurusan kebakaran hutan di negeri Perak.
Katanya, inisiatif itu juga menjadi bukti bahawa kerjasama strategik antara agensi Persekutuan dan negeri serta teknikal mampu menghasilkan impak tinggi terhadap perlindungan sumber asli negara.
“Kedua-dua infrastruktur ini dibina di bawah Projek Pembinaan Infrastruktur dan Perolehan Kelengkapan Kebakaran Hutan di Negeri Perak (2023–2025).
“Pembinaan telaga tiub ini dibangunkan dengan ketetapan teknikal tinggi dan lengkap dengan pam, struktur perlindungan serta sistem keselamatan untuk memastikan ia sedia digunakan oleh pasukan kecemasan pada bila-bila masa,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Ujikaji Tapak Helipad dan Telaga Tiub Bagi Menentang Kebakaran Hutan di HSK Kenderong, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Pengarah JMG Perak, Badrol Mohamad; Ketua Seksyen (Perlindungan & Pengembangan) Bahagian Ladang Hutan dan Perlindungan Hutan, Mohd. Khairul Abdullah dan Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Shazlean Mohd. Hanafiah.
Menurut beliau, pembinaan helipad di lokasi strategik itu juga dijangka memendekkan masa operasi udara bagi memadam kebakaran hutan di sekitar Gunung Kenderong dan sepanjang jajaran Gerik-Kupang.
Katanya, punca air berhampiran telaga tiub itu juga menggantikan kebergantungan kepada sumber air terbuka di Sungai Perak dan Tasik Banding.
“Sebelum ini operasi yang diambil untuk memadam kebakaran mengambil tempoh yang agak lama iaitu dari tapak pendaratan di Lapangan Terbang Gerik untuk ke kawasan kebakaran mengambil masa lebih 10 minit dan belum lagi ke lokasi untuk pengambilan air.
“Jadi dengan infrastruktur ini, jarak perjalanan untuk ke lokasi biasa terbakar hanya mengambil masa sekitar tiga minit pergi dan balik,” katanya.
Tambah beliau, projek pembinaan kedua-dua infrastruktur itu bermula 7 Ogos 2024 dan siap pada 25 September 2024 membabitkan kos sebanyak RM400,000.
Sementara itu, Shazlean berkata, pembinaan helipad berhampiran tiub telaga itu membantu mengatasi masalah mendapatkan sumber air untuk operasi pemadaman kebakaran di hutan.
“Antara kesukaran jika berlaku kebakaran hutan ialah untuk mendapatkan sumber air. Sebelum ini kita perlu pergi ke kawasan pili bomba tapi dengan alternatif seperti ini kita dapat mengurangkan masalah sekali gus tempoh masa menjadi lebih singkat,” katanya. – UTUSAN










