TAMPIN: Peniaga gerai makanan di Taman Clonlee di sini mendakwa terjejas sumber pendapatan apabila tidak menerima bekalan elektrik sejak lima bulan lalu.
Seorang peniaga, Jefferi Ahmad, 67, berkata, isu tersebut menimbulkan persoalan kerana semua kerja pendawaian, pemasangan tiang serta kelengkapan kotak meter telah siap sepenuhnya.
“Semua pendawaian (wiring), tiang dan kotak meter sudah siap. Kami difahamkan pihak Majlis Daerah Tampin (MDT) sudah serahkan semua dokumen dan kertas kerja kepada pihak Tenaga Nasional Bhd. (TNB), tetapi sehingga kini tiada sebarang tindakan susulan.
“Pegawai atau kontraktor TNB pun tidak datang meninjau lokasi. Kabel sudah dipasang, tiang sudah naik, lepas itu ditinggalkan begitu sahaja,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Jefferi berkata, situasi itu amat membebankan peniaga kerana kebanyakan mereka bergantung kepada operasi waktu malam berikutan permintaan tinggi penduduk setempat.
“Setakat ini ada lima gerai yang beroperasi sehingga malam. Tanpa elektrik, kami tidak boleh berniaga. Sedangkan sewa, lesen, bil lain pun tetap perlu dibayar,” katanya.
Tambahnya, mereka tetap perlu membayar caj asas elektrik sebanyak RM20 sebulan walaupun bekalan tidak disambungkan.
“Kami perlu bayar RM20 setiap bulan walaupun tak guna elektrik langsung. Masalah ini bermula sejak bangunan lama dirobohkan bagi pembinaan gerai baharu,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi peniaga, Mohd. Soffee Jefferi, 35, berkata, ketiadaan bekalan elektrik menyebabkan mereka terpaksa menggunakan lampu solar bagi menyediakan makanan seawal pukul 5 pagi.
“Kami juga tidak dapat menggunakan peti sejuk untuk penyimpanan bahan mentah. Datang awal pagi pun gelap, hendak masak pun susah,” katanya.-UTUSAN.










