GAZA: Pengurus pengebumian di Gaza, Yousef Abu Hatab, menjadi saksi kepada antara tragedi terburuk dalam sejarah Palestin selepas mengebumikan hampir 18,000 jenazah sepanjang perang Israel di wilayah itu.
Dengan hanya berbekalkan cangkul yang sudah retak, Yousef, 65, menguruskan pengebumian jenazah tanpa henti di bandar Khan Younis, selatan Gaza, sehingga tanah perkuburan menjadi terlalu penuh.
Kebanyakan jenazah yang dikebumikan tidak dikenal pasti identitinya, dengan kubur hanya mengandungi sisa tubuh hancur akibat pengeboman berterusan rejim Israel.
Menurutnya, perang Israel di Gaza merupakan episod paling getir sepanjang kerjayanya yang bermula sejak 2005.
“Sepanjang perang ini, saya menguruskan pengebumian antara 17,000 hingga 18,000 jenazah rakyat Palestin,” katanya.
Katanya, dia terpaksa bekerja sendirian, mengendalikan kerja mencuci, mengkafankan, mengebumikan dan mendokumentasi jenazah disebabkan kekurangan kakitangan serta sumber.
Yousef berkata, dia mendokumentasikan semua yang berlaku dengan telefon bimbitnya.
Antara detik paling sukar baginya berlaku pada Julai, apabila Yousef terpaksa membuka kubur persendirian untuk keluarga tertentu bagi mengebumikan kira-kira 1,270 jenazah di tengah-tengah serangan Israel yang tidak berhenti.
Dia juga terpaksa mengebumikan jenazah yang tidak dikenali dan tidak sempurna yang ditemukan di jalan atau lorong, sebahagiannya diburu oleh haiwan.
Walaupun jumlah pengebumian menurun susulan pelaksanaan perjanjian gencatan senjata, Yousef berkata dia masih mengebumikan beberapa jenazah setiap hari.
“Semasa perang memuncak, kami mengebumikan antara 50 hingga 100 jenazah setiap hari. Walaupun jumlah itu kini berkurangan, tanah perkuburan masih terus menerima mayat,” katanya.
Yousef turut mengimbau pengalaman mengebumikan 550 jenazah di kubur sementara di Hospital Nasser, ketika kemudahan itu dikepung tentera Israel tahun lalu.
Sepanjang hampir dua tahun serangan Israel terhadap Gaza, rakyat Palestin terpaksa membuat kubur sementara di kawasan perumahan, halaman rumah, dewan perkahwinan dan padang sukan.
Menurut Pejabat Media Kerajaan Gaza, 40 daripada 60 tanah perkuburannya musnah.










