TANJUNG MALIM: Kerajaan negeri Perak komited memartabatkan institusi kehakiman syariah dengan bersikap responsif terhadap tuntutan semasa agar kemudahan infrastruktur sedia ada diperkukuh dan dipertingkat selaras dengan keperluan masyarakat.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembinaan Mahkamah Syariah Taiping baharu yang bernilai RM18.5 juta merupakan simbol kesungguhan negeri memperkukuh prasarana kehakiman syariah.
“Bangunan ini menyatukan Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi Syariah di bawah satu bumbung yang dilengkapi pelbagai kemudahan moden termasuk sistem rakaman perbicaraan.
“Dengan adanya prasarana ini, kecekapan pentadbiran dapat ditingkatkan, manakala masyarakat pula lebih mudah mendapat akses kepada perkhidmatan kehakiman syariah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutup Program Multaqa Mahkamah Syariah Negeri Perak (MuM’S 2025) di Dewan Tuanku Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Kampus Sultan Azlan Shah di sini semalam.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Salina Samsudin, Ketua Pengarah dan Ketua Hakim Syarie, Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Datuk Mohd Amran Mat Zain dan Ketua Hakim Syarie Perak, Datuk Ab. Rahman Thobroni Mohd Mansor.
Menurut Saarani, kerajaan negeri turut memperkenalkan modul awam Sistem Elektronik Kehakiman Syariah Perak (eKSPerk) yang membolehkan masyarakat mengakses dan mengisi borang kes-kes lazim secara dalam talian.
“Inisiatif ini bukan sahaja menjimatkan masa dan kos malah memperluas keterangkuman akses keadilan syariah kepada semua lapisan rakyat.
“Kerajaan negeri turut menyambut baik inisiatif Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) untuk memperluaskan penggunaan sistem e-Syariah versi 3.0 di Perak. Walaupun belum dilaksanakan sepenuhnya, namun persiapan ke arah pelaksanaannya sedang giat dijalankan,” katanya.
Justeru, apabila direalisasikan kelak, ia akan meningkatkan lagi keberkesanan pengurusan kes serta memperkukuh keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman syariah.
Sementara itu, kontinjen Sabah muncul juara keseluruhan kejohanan sukan dwi tahunan itu dengan pungutan sembilan pingat emas, tiga perak dan lapan gangsa. – UTUSAN