Perak kedua tertinggi kes keganasan rumah tangga - Utusan Malaysia

Perak kedua tertinggi kes keganasan rumah tangga

NORAINI Ahmad (tiga dari kiri) pada Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) di Ipoh, Perak hari ini. - UTUSAN/FADZIL ZAINOL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Perak negeri kedua tertinggi mencatat kes keganasan rumah tangga dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini selepas Selangor.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), bilangan mangsa di negeri ini ialah seramai 653 orang, berbanding Selangor 687 orang.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, bagi tahun 2025 setakat April, kes yang dilaporkan di Perak adalah sebanyak 425 kes berbanding 175 kes dalam tempoh yang sama pada tahun lepas.

“Angka ini menunjukkan peningkatan ketara dalam tempoh setahun. Perak juga merupakan antara lima negeri tertinggi dari segi nisbah kes berbanding populasi penduduk seramai 2.6 juta orang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Advokasi Kesejahteraan Untuk Wanita Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT) di sini hari ini.

Malah berdasarkan rekod sepanjang tahun 2024, Perak tetap berada di tempat kedua terbanyak iaitu 842 mangsa selepas Selangor dengan 1,317 orang.

Bagaimanapun Noraini berkata, peningkatan juga boleh disumbangkan hasil kesedaran masyarakat yang mula tahu apakah itu keganasan rumah tangga dan kaedah untuk membuat laporan.

“Kami akan terus menjalankan kempen kesedaran untuk membantu masyarakat supaya tidak ada rasa takut dalam hal ini,” katanya.

Berdasarkan rekod PDRM antara Januari sehingga Jun 2025 di seluruh Malaysia, seramai 2,751 mangsa keganasan rumah tangga adalah wanita, lelaki seramai 1,017 mangsa dengan kelompok umur antara 36 hingga 45 tahun adalah paling ramai menjadi mangsa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN