KUALA TERENGGANU: Prosedur baharu Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu menetapkan tempoh sehingga 42 hari sebelum lembu boleh dipindah atau disembelih didakwa menyebabkan kos operasi penternak meningkat malah mengundang kematian ternakan yang tidak mampu bertahan lama dalam kandang.
Hampir 100 penternak dari seluruh Terengganu berhimpun secara aman di hadapan pejabat JPV negeri di Jalan Bukit Kecil, di sini semalam bagi menyuarakan bantahan serta menuntut supaya sistem berkenaan ditarik balik atau disemak semula.
Seorang penternak, Muhammad Izzri Hisham Abdul Rahman, 32, berkata, sebelum ini urusan permit sangat mudah apabila lembu boleh dipindahkan pada hari sama selepas mengisi maklumat asas.
“Sekarang kami kena tunggu lebih sebulan dan dalam tempoh itu, seekor lembu perlukan kos makanan kira-kira RM10 sehari. Kalau tunggu 42 hari, rugi lebih RM400 seekor.
“Lebih teruk, ada lembu yang mati kerana tidak makan dan tidak minum. Kalau kami bawa keluar tanpa permit, lori pula dirampas dan penternak didenda ribuan ringgit,” katanya ketika ditemui semalam.
Muhammad Izzri berkata, sistem e-permit baharu itu juga menyusahkan kerana memerlukan akses internet sedangkan ramai penternak di pedalaman tidak memiliki telefon pintar.
“Ramai orang kampung tidak menggunakan telefon canggih, malah ada yang langsung tiada telefon. Sistem lama lebih mesra pengguna dan cepat,” katanya.
Seorang lagi penternak, Aswadi Hussin, 33, turut mengeluh apabila kelewatan permit menyebabkan perjanjian jual beli terbatal selepas pembeli menarik diri.
Menurutnya, ramai penternak sudah membuat pinjaman membeli lori baharu untuk menghantar lembu namun kini tidak mampu membayar komitmen bulanan kerana ternakan tersekat di ladang.
“Kami sudah setuju harga RM3,200 seekor tapi bila permit lambat sangat, pembeli batalkan. Lembu makin kurus, kami pula rugi besar. Bayangkan lori kena bayar RM2,000 sebulan tetapi lembu tak boleh keluar. Memang tertekan,” ujarnya. – UTUSAN










