KUALA LUMPUR: Pensyarah universiti tempatan, Dr. Kamarul Zaman Yusoff masih perlu membayar ganti rugi RM400,000 kepada Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh selepas Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan untuk menggantung perintah pembayaran tu.
Peguam, Sangeet Kaur Deo yang mewakili Menteri Belia dan Sukan itu memberitahu, Pesuruhjaya Kehakiman Avinder Singh Gill memutuskan demikian selepas mendapati tiada keadaan istimewa untuk membenarkan penangguhan.
Peguam itu turut memberitahu mahkamah turut memerintahkan Kamarul Zaman untuk membayar kos RM2,500.
Hadir pada prosiding yang dijalankan dalam kamar hakim ialah peguam Mohd. Khairul Azam Abdul Aziz, yang mewakili pensyarah itu. Hannah dan Kamarul Zaman tidak hadir pada prosiding hari ini.
Sementara itu, Mohd. Khairul Azam ketika ditemui media memberitahu, mahkamah (pada hari ini) telah membuat penilaian maksimum dan mendapati tidak wujud keadaan istimewa melayakkan penggantungan diberikan.
“Oleh itu, penghakiman oleh Mahkamah Tinggi sebelum ini (yang memerintahkan pembayaran ganti rugi RM400,000) akan terus berkuat kuasa,” katanya.
Pada 30 Mei lalu, Hakim Mahkamah Tinggi di sini, Datuk Aliza Sulaiman memerintahkan Kamarul Zaman membayar ganti rugi RM400,000 itu membenarkan tuntutan saman fitnah Hannah berikutan kenyataan fitnah yang dibuat defendan lapan tahun lepas.
Pada 15 Ogos lalu, Hannah memfailkan notis kebankrapan terhadap Kamarul Zaman selepas beliau gagal membayar ganti rugi berkenaan.
Berdasarkan saman yang difailkan pada 2022, Hannah selaku plaintif berkata, Kamarul Zaman telah memuat naik dua hantaran Facebook antara 10 Mei dan 17 Mei 2017, iaitu beliau mendakwa bahawa plaintif mempunyai motif untuk menyebarkan Kristian menerusi politiknya.
Pensyarah itu turut memetik biografi Hannah “Becoming Hannah: A Personal Journey” bagi memacu agenda Kristian dan turut mendakwa beliau berniat untuk mengubah Malaysia menjadi negara Kristian. – UTUSAN










