KUANTAN: Seorang Penolong Pengurus Kontrak di Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan berbentuk seunit telefon bimbit bernilai RM3,999, tujuh tahun lalu.
Mohd. Sahir Mohamed Yusof, 46, membuat pengakuan terbabit di hadapan Hakim Sazlina Safie ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima seunit telefon bimbit jenis iPhone 8 Plus daripada seorang pengurus sebuah syarikat sekitar Jalan Bukit Ubi, di sini, pada 23 Oktober 2018. Tertuduh juga didakwa gagal melaporkan pemberian tersebut kepada pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau pegawai polis.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin bercagar serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Hakim turut melarang tertuduh mengganggu saksi dan mana-mana pihak berkaitan sehingga perbicaraan selesai. Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 30 September ini. – UTUSAN









