JASIN: Lelaki warga emas yang juga peniaga kerepek direman tujuh hari bermula hari ini selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, minggu lalu.
Perintah reman sehingga 17 Ogos ini dikeluarkan Majistret Mazana Sinin terhadap suspek berusia 63 tahun itu bagi membolehkan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.
Difahamkan, kejadian terbongkar selepas bapa saudara mangsa melihat kanak-kanak itu dicium oleh suspek di kawasan rumahnya di Kesang Tua di sini, kira-kira pukul 12 tengah hari pada 9 Ogos lalu.
“Saksi segera memanggil nenek mangsa berusia 56 tahun dan wanita itu turut melihat perbuatan suspek. Lelaki itu kemudian terus beredar menuju ke arah sebuah kereta Honda Jazz.
“Nenek mangsa sempat mengejar suspek sebelum seorang pemandu wanita yang berada di dalam kereta tersebut meminta maaf. Wanita itu mendakwa suspek adalah pekerja ibunya,” kata sumber.
Saksi memberitahu, suspek turut melakukan perbuatan tidak senonoh terhadap mangsa dengan memujuknya menggunakan gula-gula.
“Bertindak hasil laporan polis, sepasukan anggota dari Cawangan D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka menahan suspek untuk permohonan reman,” katanya. – UTUSAN










