Pengusaha sayur lega hujan selepas dua bulan panas

Pengusaha sayur lega hujan selepas dua bulan panas

ALAN Yang (kanan) meninjau keadaan pokok bawang yang baharu ditanam selepas hujan kelmarin di ladangnya di Sungkai dekat Tanjung Malim, Perak. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Hujan lebat selama dua jam di beberapa kawasan di negeri ini kelmarin memberi kelegaan besar kepada pengusaha ladang sayur di Kuala Bekam, Sungkai, selepas hampir dua bulan berdepan cuaca panas berterusan.

Pengurus Egi Group, Alan Yang berkata, ladang syarikat seluas 100 ekar yang mengusahakan tanaman sayur dan bawang terjejas teruk akibat kekurangan air. Cuaca panas menyebabkan tanah merekah, manakala tanaman bawang yang baru ditanam mula layu dan tidak membesar dengan baik.

“Sejak dua bulan lalu cuaca sangat panas dan ini mengganggu perancangan kami untuk memulakan tanaman baharu. Walaupun kami teruskan juga, kekurangan air menyebabkan pertumbuhan anak pokok terganggu dan kualiti hasil juga terjejas,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Selain bawang, Egi Group turut menanam sayur-sayuran lain, labu manis serta pokok kopi yang semuanya memerlukan air mencukupi untuk pertumbuhan optimum.

Alan berkata, tanaman seperti bawang memerlukan sekurang-kurangnya satu jam siraman air mencukupi setiap hari bagi memastikan hasil berkualiti. Namun cuaca panas yang berpanjangan menyebabkan tanaman terdedah kepada risiko kerosakan dan merugikan pengusaha.

“Hujan kelmarin walaupun sekejap, sekurang-kurangnya menyegarkan kembali tanaman kami yang baru ditanam. Ia belum cukup untuk kegunaan jangka panjang, tetapi pokok dapat manfaat daripada hujan itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN