Pengurusan kes amang seksual Naim pada 19 Sept

Pengurusan kes amang seksual Naim pada 19 Sept

NAIM DANEIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan 19 September ini sebagai tarikh pengurusan lanjutan kes penyanyi dan pelakon terkenal, Naim Daniel yang didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan, Mei lalu. 

Pihak pembelaan memaklumkan Hakim Datin M. Kunasundary telah menerima dokumen berkaitan daripada pihak pendakwaan.

Perkara itu dimaklumkan peguam bela, Nur Syafiyah Athirah Ahmad Shafique ketika ditemui media selepas tamat prosiding.

Tambah peguam itu, pada tarikh pengurusan akan datang, pihaknya akan turut memaklumkan sama ada terdapat dokumen tambahan yang diperlukan.

“Pada sebutan hari ini, dokumen-dokumen yang diserahkan akan digunakan pihak pendakwaan ketika perbicaraan nanti,” katanya.

Pada prosiding yang dijalankan secara tertutup, pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Izzah Shaharuddin.

Selain Nur Syafiyah Athirah, turut mewakili Naim ialah peguam bela, Mohd. Irwan Sumadi.

Pada 17 Jun lalu, Naim atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap remaja berusia 17 tahun.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah hotel di Jalan Harapan, Petaling Jaya pada pukul 8.56 malam, 19 Mei lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian membenarkan Naim Daniel diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Sebelum ini, selebriti itu ditahan pada 3 Jun lalu selepas disyaki melakukan amang seksual terhadap remaja itu tahun di sebuah hotel di Selangor.

Suspek bagaimanapun dibebaskan dengan jaminan polis selepas diambil keterangannya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×