PUTRAJAYA: Penyanyi dan pelakon, Naim Daniel, bertekad untuk kekal aktif dalam bidang muzik walaupun berdepan tuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, mengakui kini sedang sibuk dalam proses menghasilkan lagu terbaharu.
“Alhamdulillah saya berada dalam keadaan baik dan sedang sibuk menulis, menghasilkan muzik saya semula.
“Selebihnya saya memang fokus kepada diri saya sendiri. Ada atau tidak kes ini, memang saya akan terus hasilkan lagu sebab ia sudah jadi kerja saya.
“Harap semua orang dapat sama-sama bersabar untuk perkembangan seterusnya. Itu sahaja daripada saya, terima kasih,” katanya selepas hadir di Mahkamah Sesyen Putrajaya bagi sesi sebutan semula kes berkenaan hari ini.
Juara Anugerah Juara Lagu ke-34 itu hadir ditemani peguam Mohd. Irwan Sumadi dan Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique, selaku defendan untuk beberapa dokumen berkaitan kes tersebut kepada pihak mahkamah.
“Saya datang untuk serahkan dokumen sahaja dulu. Alhamdulillah segalanya berjalan lancar. Terima kasih kepada semua orang yang hadir,” katanya ringkas.
Mahkamah hari ini menetapkan 19 September sebagai tarikh pengurusan kes bagi tuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun.
Sebelum ini, pada 17 Jun 2025, Naim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan amang seksual terhadap seorang remaja berusia 17 tahun di hadapan Hakim Datin M. Kunasundary.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas seorang remaja perempuan berumur 17 tahun tujuh bulan bagi tujuan seksual pada 19 Mei lalu pada jam kira-kira 8.56 malam di Ukiyo Hotel di Petaling Jaya, Selangor.
Kes dikemukakan di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, dengan potensi hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebatan. – UTUSAN








