KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu berhubung pembekalan kaki ayam beku ke China, dua tahun lalu.
Mengikut pertuduhan, R. Gopinatan Pillai, 60, didakwa memperdayakan seorang individu agar mempercayai bahawa tertuduh boleh membekalkan kaki ayam beku ke China sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang RM273,987.50 ke dalam akaun bank milik syarikat tertuduh.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah unit pejabat di Menara Sentral Vista, Jalan Sultan Abdul Samad, dekat sini, pada 5 Julai 2023.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan sebat serta denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Batrisyia Mohd. Khusri mencadangkan ikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin terhadap Gopinatan Pillai yang kini direman di Penjara Sungai Buloh.
Bagaimanapun, tertuduh memaklumkan peguamnya tidak hadir pada hari ini dan akan membuat rayuan berkenaan jaminan pada tarikh sebutan kes akan datang.
Hakim Hamidah Mohamed Deril menetapkan 2 September ini untuk sebutan kes dan rayuan jaminan daripada peguam tertuduh.
Pada 10 Februari lalu, Gopinatan Pillai didakwa atas lapan pertuduhan menipu dan terlibat dalam kes pengubahan wang haram berjumlah RM5.1 juta bagi pembekalan 150,000 kotak sarung tangan jenis ‘Coats Nitrile Examination’, lima tahun lalu.










