Pengalaman mistik lima artis Korea - Utusan Malaysia

Pengalaman mistik lima artis Korea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Industri hiburan Korea Selatan sering kali dipandang sebagai dunia penuh glamor, sorotan cahaya kamera, dan dihuni oleh lambakan selebriti yang bersaing sesama sendiri dalam arus populariti.

Namun, di sebalik tabir kehidupan serba glamor itu, tersimpan kisah-kisah misteri yang membuatkan peminat terfikir, mungkinkah bintang kesayangan mereka pernah berdepan perkara-perkara mistik? Jawapannya, ya.

Biarpun teknologi di negara itu antara yang tercanggih di dunia, ia tidak dapat menghalang pengalaman menyeramkan daripada menimpa sesiapa sahaja, termasuklah artis popular.

Ada yang melihat kelibat, ada yang mendengar suara misteri, malah ada yang merasai sentuhan ‘makhluk’ yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Berikut lima kisah insiden mistik yang pernah dialami oleh selebriti Korea dan masih menjadi bualan peminat hingga kini.

SO JI-SUB

Aktor kacak So Ji-sub, yang terkenal dengan drama seperti Master’s Sun dan Oh My Venus, pernah mengalami kejadian pelik yang berlarutan selama beberapa minggu.

Aktor ini menceritakan dalam satu temu bual bahawa dia sering bermimpi tentang seorang wanita tidak dikenali datang menghampirinya sambil memanggil namanya berulang kali.

Walaupun tidak pernah melihat wajah wanita itu di dunia nyata, dia merasakan ada sesuatu yang ‘ingin disampaikan’ oleh entiti berkenaan.

Mimpi yang berulang itu membuatnya berasa terganggu sehingga dia terpaksa memanggil seorang kawan yang mahir dalam perkara spiritual untuk menda­patkan nasihat.

IU

Penyanyi berbakat, IU pernah mengalami detik menakutkan semasa sesi latihan di sebuah dewan lama.

Ketika sedang menyanyi di atas pentas, dia terlihat seorang lelaki duduk sendirian di barisan hadapan.

Menyangka itu mungkin kru atau tetamu jemputan, IU tidak mengendahkannya. Namun, apabila pasukan kru membuat pemeriksaan, mereka mendapati tiada sesiapa pun di situ.

Lebih menakutkan, tiada rakaman video yang menunjukkan kelibat lelaki tersebut. IU mengakui selepas kejadian itu, dia berasa sukar untuk berlatih sendirian di dewan yang sama.

SUZY (BEKAS ANGGOTA MISS A)

Pelakon dan penyanyi jelita, Suzy, menceritakan bahawa semasa menjalani penggambaran drama, dia secara tiba-tiba terdengar bunyi bisikan aneh yang memanggil namanya.

Lebih menyeramkan, bunyi itu kedengaran hanya di telinganya, sedangkan kru dan pelakon lain tidak mendengar apa-apa.

Rakaman audio kamera juga tidak mengesan bunyi tersebut. Kejadian itu menyebabkan penggambaran terpaksa dihentikan seketika kerana Suzy kelihatan pucat dan sukar menenangkan diri.

Ada kru yang berseloroh mungkin lokasi penggambaran itu ‘berpenghuni’, namun ada juga yang memilih untuk tidak membicarakan lanjut mengenai situasi itu.

TAEYEON (GIRLS’ GENERATION)

Sebagai ketua kumpulan Girls’ Generation, Taeyeon dikenali dengan perwatakan ceria dan suaranya yang merdu.

Namun, dia pernah berkongsi pengalaman menyeramkan ketika menetap di asrama bersama ahli kumpulannya. Dalam satu episod rancangan hiburan, Taeyeon mendedahkan pernah melihat bayangan hitam melintas di dalam bilik mereka pada waktu malam.

Anehnya, ketika itu semua ahli kumpulan sedang nyenyak tidur. Walaupun cuba menenangkan diri, perasaan seram sejuk tidak dapat dihindari.

Pemain industri hiburan yang mendengar kisah itu sendiri mengakui, asrama artis di Korea kadang-kala memang terkenal dengan kisah-kisah pelik.

G-DRAGON (BIG BANG)

Rapper dan penyanyi terkenal G-Dragon bukan sahaja disegani kerana bakatnya, malah personalitinya yang tenang.

Namun, ketika berada di Jepun untuk konsert bersama BIGBANG, penyanyi ini pernah melalui malam yang penuh tanda tanya.

Menurutnya, ketika berehat di sebuah bilik hotel, dia merasakan ada ‘sesuatu’ yang memerhati. Tidak lama kemudian, lampu biliknya tiba-tiba terpadam dan menyala sendiri berulang kali tanpa sebab.

Walaupun cuba menganggapnya sebagai masalah elektrik, kejadian itu berterusan hingga membuatkan G-Dragon tidak dapat melelapkan mata malam itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN