Penantian berpuluh tahun berakhir, 91 penduduk Kg Togudon terima geran tanah

Penantian berpuluh tahun berakhir, 91 penduduk Kg Togudon terima geran tanah

EWON BENEDICK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENAMPANG: Penantian lebih puluhan tahun penduduk Kampung Togudon untuk memiliki tanah sendiri menemui titik nokhah apabila seramai 91 penerima menerima geran tanah masing-masing di bawah Program Tanah Anak Negeri Sabah (PANTAS), hari ini.

Majlis penyerahan geran itu disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ewon Benedick, di premis Tamu Desa Kampung Togudon.

Menurut Ewon, penyerahan membabitkan kawasan seluas 155.544 hektar dan merupakan fasa pertama daripada keseluruhan 970.628 hektar tanah yang telah disukat di bawah program berkenaan.

“Saya maklum isu pemilikan tanah di Kampung Togudon telah berlarutan bertahun. Ini antara perkara terawal saya tangani selepas dipilih sebagai Ahli Parlimen Penampang,” katanya.

Katanya, penyukatan tanah dimulakan pada Ogos 2023 selepas mendapat kelulusan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, dan hari ini menjadi detik bersejarah buat penduduk kampung.

Majlis turut menyaksikan perasmian bangunan premis Tamu Desa dan pelancaran Koperasi Desa Togudon Berhad yang dijangka memacu pertumbuhan ekonomi tempatan.

Ewon yakin pemilikan tanah sah akan merangsang pembangunan ekonomi luar bandar terutama dalam sektor pertanian dan pelancongan desa.

“Saya komited meluaskan penyukatan ke kampung lain seperti Moyog, Rugarding dan Kibunut,” katanya.

Program PANTAS kini dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (2026–2030) sebagai sebahagian agenda khas masyarakat Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Tambahnya, beliau akan terus mendapatkan sokongan kerajaan negeri bagi meluaskan pelaksanaan program itu di seluruh kawasan Parlimen Penampang dan DUN Kadamaian.

Program PANTAS ialah inisiatif mempercepat penyukatan serta pemberian geran tanah kepada masyarakat Anak Negeri Sabah yang sekian lama berdepan isu pemilikan tanah sah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN