Pemuda UMNO P.Pinang, Akmal turun Kepala Batas Khamis ini

Pemuda UMNO P.Pinang, Akmal turun Kepala Batas Khamis ini

MOHD. HILMI ELIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pemuda UMNO Pulau Pinang akan turun ke Bertam, Kepala Batas kira-kira pukul 5.30 petang, Khamis ini sebagai respon terhadap kesudian DAP untuk menyambut kehadiran mereka dengan program pengedaran 831 helai Jalur Gemilang.

Ketuanya, Mohd. Hilmi Elias berkata, program itu akan turut disertai oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh sebagai tanda solidariti dan semangat patriotisme menjelang sambutan Hari Kebangsaan.

Beliau berkata, pada program berkenaan, Pemuda UMNO juga akan hadir bersama bendera Malaysia sebagai simbolik kecintaan terhadap Jalur Gemilang dan tanah air tercinta.

“Kami menyeru orang ramai, khususnya warga Pulau Pinang, untuk turut serta bersama kami pada hari tersebut bagi menunjukkan semangat perpaduan dan cinta negara.

“Kehadiran anda akan memperkukuh mesej bahawa Jalur Gemilang adalah lambang maruah dan kedaulatan yang wajib dihormati oleh semua pihak. Jalur Gemilang bukan sekadar kain berwarna, ia adalah jiwa Malaysia,” katanya di sini, hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook sebelum itu berkata, mana-mana pihak yang cuba mengganggu ketenteraman di sekitar premis yang menjadi tumpuan susulan insiden kibaran Jalur Gemilang secara terbalik di Kepala Batas itu akan disambut oleh ahli-ahli DAP Pulau Pinang.

Katanya, sambutan itu dibuat dengan mengedarkan 831 helai Jalur Gemilang secara percuma sebagai simbol semangat perpaduan menjelang sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini.

Terdahulu, Anthony berkata, DAP turut menaja pemasangan bendera Jalur Gemilang gergasi di premis terbabit bagi membolehkan orang ramai melihat dengan jelas bendera tersebut telah dipasang dengan betul.

JALUR Gemilang bersaiz gergasi kini telah dipasang di bahagian hadapan sebuah premis yang sebelum ini terpalit dengan isu kontroversi susulan pengibaran Jalur Gemilang secara terbalik di Kepala Batas, Pulau Pinang.-UTUSAN

Dalam pada itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, Jalur Gemilang berkenaan telah dipasang kira-kira pukul 2 petang tadi.

Difahamkan, Jalur Gemilang bersaiz gergasi yang berukuran kira-kira 10×20 kaki itu dipasang di bahagian hadapan premis terbabit sebagai langkah proaktif oleh DAP negeri susulan isu berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN