MELAKA: Seorang pemuda, Chua Kuan Jie, 33, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas tuduhan mencuri pelbagai barangan dari sebuah pasar mini pada 10 Ogos lalu.
Tertuduh didakwa mencuri lima peket makanan kucing, pewangi, jem roti dan sepasang selipar dari Speedmart di Taman Merdeka, Batu Berendam, sekitar jam 5.30 petang.
Chua mengaku tidak bersalah ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Uthman Abd Ghani.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, serta hukuman tambahan seperti sebat bagi kesalahan berulang.
Timbalan Pendakwa Raya, Farah Nabihah Sofian, mencadangkan jaminan sebanyak RM8,000.
Namun, peguam bela tertuduh, Nigel Tai, memohon jaminan direndahkan atas alasan anak guamnya menganggur, sedang menjalani rawatan mental dan bergantung sepenuhnya kepada ibunya.
Mahkamah membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.
Kes akan disebut semula pada 23 September depan untuk tindakan lanjut. – UTUSAN










