Peminat gelar Andy Teh ‘imam saya’ lepas kongsi bacaan surah An-Nas - Utusan Malaysia

Peminat gelar Andy Teh ‘imam saya’ lepas kongsi bacaan surah An-Nas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Andy Teh, geli hati apabila peminat mula memanggilnya dengan gelaran ‘imam saya’ di ruangan mesej Instagram selepas aktor itu berkongsi  sudah boleh bacaan surah An-Nas sebelum ini.

Cerita Andy, perkongsian dirinya boleh membaca ayat al-Quran itu bukan bertujuan untuk menunjukkan kehebatan sebaliknya bukti komitmen dirinya sudah bersedia untuk membawa watak sebegitu.

“Malaysia merupakan negara yang berbilang bangsa, sekiranya saya dapat watak yang karakternya ada kaitan dengan agama Islam, setidaknya saya tahu serba sedikit dan boleh belajar.

“Kalau ada yang nampak perkongsian saya bacaan surah An-Nas bukan sebab saya mahu tayang kehebatan atau apa, tapi cuma mahu tunjuk kepada mana-mana rumah produksi bahawa saya sudah bersedia jika ada tawaran.

“Tapi di ruangan mesej ramai juga yang panggil saya dengan gelaran ‘imam’ selepas berkongsian saya membaca surah An-Nas,” katanya ketawa.

Andy ditemui Utusan Malaysia semasa sidang media dan tayangan filem Abah Saya Uncle Mike di sini pada Selasa.

Dalam pada itu, Andy atau Andy Teh Kim Hua, 38, mengakui ada peminat yang keliru dan menyangkanya berbangsa Melayu.

“Saya mahu anggap saya pelakon yang mempunyai kemampuan lain.

“Tiada orang anggap saya mualaf cuma mereka keliru saya ini Cina atau Melayu. Tapi saya Cina dalam keluarga pun tidak ada yang memeluk agama Islam cuma sekarang apabila sudah masuk industri perfileman arus perdana, sudah jadi biasaan berkawan dengan Melayu,” katanya.

Memegang watak utama iaitu Uncle Mike dalam filem terbaharu, Andy terpaksa mengasingkan diri daripada bertemu rakan-rakan buat sementara waktu.

“Saya rasa sangat bersyukur apabila individu sebenar filem inu iaitu Uncle Mike berpuas hati dengan lakonan saya dan beri 10 markah.

“Sebelum ini saya banyak bawa watak antagonis takut juga sekiranya lakonan saya sebagai seorang ayah tidak menjadi.

“Jadi saya kena menyendiri buat sementara waktu, berjauhan dengan kawan-kawan untuk buang pandangan ‘antagonis’ sebelum ini,” katanya.

Abah Saya Uncle Mike diinspirasikan daripada kisah benar tentang Mike iaitu seorang lelaki Cina yang membesarkan tiga anak angkat Melayu, menjaga dan menghormati akidah Islam mereka.

Filem ini dijangka akan ditayangkan pada 28 Ogos 2025 di pawagam Malaysia dan Brunei. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN