Pemimpin agama perlu jadi suara, pertahan nilai kemanusiaan

Pemimpin agama perlu jadi suara, pertahan nilai kemanusiaan

SUBANG JAYA 28 OGOS 2025 - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) berucap pada Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama ke-2 di Sunway Resort Hotel di sini hari ini. Turut sama, Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim, Shaikh Dr Mohammed Abdul Karim Al-Issa (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama). Mohd. Na'im Mokhtar. GAMBAR: FARIZ RUSADIO / PEMBERITA: AIMI / SHAHERMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemimpin agama diseru untuk memainkan peranan sebagai pendamai serta pembela nilai sejagat termasuk melindungi hak golongan minoriti.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemimpin agama mempunyai tanggungjawab besar untuk mempertahankan kemanusiaan serta erti sebenar kepercayaan.

Katanya, usaha itu penting bagi memastikan suara agama menjadi benteng kemanusiaan, terutama ketika dunia mengalami percanggahan dan hipokrasi yang menafikan prinsip demokrasi, hak asasi dan keadilan.

“Kadangkala kita bercakap tentang perbezaan antara agama. Kita tidak sedar bahawa semua agama mesti bersatu sekurang-kurangnya untuk mewujudkan persefahaman menentang mereka yang menolak sebarang pegangan dan nilai.

“Semua pemimpin agama mesti bersatu dan mempertahankan apa itu kemanusiaan dan apa itu kepercayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sidang Kemuncak Antarabangsa Pemimpin Agama Kali Kedua 2025, hari ini.

Anwar berkata, cabaran masa kini bukan hanya berpunca daripada ekstremisme agama, tetapi juga ekstremisme sekular apabila wujud golongan yang langsung menolak kewujudan agama atau nilai kepercayaan.

Katanya, sikap tidak bertoleransi di kedua-dua pihak itu melahirkan fenomena Islamofobia serta pandangan meremehkan tamadun lain, sehingga mencetuskan bentuk baharu kejahilan terhadap kebenaran, keadilan dan kemanusiaan.

“Samuel Huntington pernah menulis tentang clash of civilisations, tetapi saya lebih setuju dengan Edward Said yang menegaskan ia sebenarnya adalah clash of ignorance.

“Ia adalah satu bentuk jahiliyah baharu. Kejahilan terhadap kebenaran, keadilan dan kemanusiaan, sehingga melahirkan kebencian kepada agama, masyarakat dan budaya yang mereka sendiri tidak fahami,” katanya.

Tambah beliau, keganasan yang menimpa rakyat Palestin di Gaza adalah contoh kezaliman yang menafikan maruah serta hak asasi manusia.

“Setiap hari kita melihat bayi dibunuh, rumah dimusnahkan dan masyarakat dibom.

“Apa sebenarnya sedang berlaku di dunia ini? Di mana hati nurani kita? Di mana suara kemanusiaan dan nilai belas kasihan?” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan Malaysia akan terus mempertahankan keamanan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menimbulkan kebencian kaum atau agama.

“Malaysia sebuah negara berbilang kaum yang aman, dan kita percaya pada demokrasi serta kebebasan. Tetapi saya tegaskan, jika ada pihak cuba menimbulkan huru-hara atau menyebarkan kebencian terhadap kaum dan agama lain, kerajaan akan bertindak keras.

“Kita tidak boleh membenarkan keluarga dan komuniti dirosakkan oleh perpecahan sebegini,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN