PETALING JAYA: Penggunaan nombor plat palsu dan tidak mengikut spesifikasi merupakan antara elemen yang perlu diberi perhatian bagi menangani penyalahgunaan sistem pembayaran tol terbuka berasaskan teknologi identifikasi nombor plat automatik (ANPR) yang akan dilaksana September ini.
Pakar Kejuruteraan Awam Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Prof. Madya Dr. Munzilah Md. Rohani berkata, isu nombor plat palsu perlu diberi perhatian serius agar pemilik kenderaan terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.
Katanya, walaupun spesifikasi plat kenderaan telah ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), masih terdapat pemandu menggunakan plat tidak mengikut piawaian semasa.
“Kerajaan perlu lebih peka berkenaan dengan plat kenderaan yang telah diubah suai boleh menjejaskan ketepatan pengecaman sistem ANPR ataupun tidak,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sistem pembayaran tol terbuka berasaskan teknologi ANPR akan dilakukan secara rintis dan berperingkat bermula September dan Oktober ini.
Ia sedia untuk dilaksanakan di laluan Hutan Kampung ke Sungai Dua sebelum diperluaskan ke keseluruhan jajaran lebuh raya PLUS Malaysia Berhad (PLUS).
Munzilah berkata, kerajaan juga perlu menyediakan pelan sokongan menyeluruh kerana isu keselamatan data tidak boleh dipandang ringan kerana sistem ANPR mengumpul maklumat perjalanan pengguna secara automatik.
Katanya, maklumat seperti lokasi, masa perjalanan dan identiti pemilik kenderaan perlu dilindungi sepenuhnya daripada capaian pihak tidak bertanggungjawab.
“Tidak dapat dinafikan bahawa sistem ini akan memberikan kelancaran trafik buat pengguna jalan raya, namun kerajaan perlu memastikan semua data disimpan di pusat data tempatan dengan ciri keselamatan fizikal dan digital bertaraf tinggi,” katanya.
Dalam pada itu, pakar keselamatan jalan raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Law Teik Hua berkata, keyakinan orang awam bergantung kepada jaminan maklumat peribadi tidak disalah guna pihak tidak bertanggungjawab.
Katanya, perlindungan data boleh diperkukuh dengan kawalan akses ketat, rekod audit dan pemadaman selepas tempoh simpanan tertentu.
“Pematuhan kepada Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) perlu menjadi syarat utama, manakala semua data disimpan di pusat data tempatan selamat,” katanya. – UTUSAN