PUTRAJAYA: Bangladesh memohon bantuan Malaysia bagi mencari jalan penyelesaian terhadap krisis melibatkan etnik Rohingya yang disifatkan sebagai masalah besar kepada negara itu.
Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Dr Muhammad Yunus berkata, pihaknya memandang tinggi peranan Malaysia, khususnya sebagai Pengerusi ASEAN, untuk membantu menggerakkan usaha diplomatik menyelesaikan isu berkenaan di peringkat serantau.
“Kami memohon bantuan Malaysia, khususnya sebagai Pengerusi ASEAN. Kami memerlukan segala bentuk bantuan yang boleh diperoleh dan Malaysia adalah sahabat baik kami,” katanya dalam sidang akhbar bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sempena lawatan tiga hari beliau di Kompleks Perdana Putra, di sini hari ini.
Muhammad Yunus berkata, hubungan rapat antara kedua-dua negara selama ini menjadi asas kepada keyakinan Bangladesh bahawa Kuala Lumpur mampu memainkan peranan penting dalam isu kemanusiaan tersebut.
Menurut beliau, selain bantuan diplomatik, Bangladesh turut mengalu-alukan pelaburan Malaysia di negara itu bagi memperkukuh hubungan ekonomi dua hala.
Katanya, Bangladesh terbuka untuk perniagaan dengan menawarkan peluang besar melalui sumber manusia dan teknologi yang dimiliki, sekali gus memberi ruang kepada Malaysia untuk memasarkan produk ke seluruh dunia.
Beliau berkata, kedua-dua negara telah membincangkan senarai idea dan isu yang boleh dilaksanakan bersama secara dua hala dan pelbagai hala, termasuk memperluas kerjasama dalam bidang kewangan serta pelaburan.
“Kami berharap dapat mengukuhkan hubungan ini supaya membangunkan ekonomi yang mampan dan berdaya pertumbuhan tinggi. Kami amat gembira kerana rakyat Malaysia sentiasa memberikan sokongan kepada kami di Bangladesh,” katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Yunus turut menyifatkan kunjungan beliau ke Malaysia seperti berada di rumah kedua susulan pelbagai ikatan antara kedua-dua negara.
“Hari ini, hubungan kita semakin erat atas pelbagai sebab terutamanya kerana ramai rakyat Bangladesh bekerja di sini.
“Mereka menghantar pendapatan ke tanah air, menyara keluarga, membiayai persekolahan anak-anak dan memastikan pendidikan yang lebih baik untuk generasi akan datang.
“Mereka gembira bekerja di sini dan atas sebab itu kami mengucapkan terima kasih kepada Malaysia kerana menerima rakyat kami dengan penuh mesra,” katanya.
Bercakap mengenai kerajaan Bangladesh ketika ini, beliau berkata, pimpinan mengambil alih pentadbiran negara itu tahun lalu ketika tercetusnya gerakan kebangkitan rakyat terutamanya golongan muda.
“Rejim terdahulu telah menindas demonstrasi, melakukan keganasan terhadap rakyat dan meruntuhkan institusi negara.
“Kebangkitan itu membawa kepada penubuhan kerajaan baharu dan saya telah diundang untuk memimpinnya. Pada waktu yang penuh ketidaktentuan itu, ketika saya masih mencari haluan, siapakah yang hadir? Sahabat saya, Anwar Ibrahim,” katanya. – UTUSAN










