KUALA LUMPUR: Tindakan Ahli Parlimen pembangkang meninggalkan Dewan Rakyat selepas gagal menolak Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025, hari ini, bagi menyatakan protes terhadap keputusan Tan Sri Johari Abdul yang membenarkan RUU tersebut tidak dirujuk jawatankuasa khas.
Menjelaskan tindakan itu, Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, protes itu dizahirkan kepada keputusan Johari terhadap isu dibangkitkan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee, berkaitan Peraturan Mesyuarat 80B yang baru dipinda.
Katanya, peraturan mesyuarat itu menyatakan hendaklah ada jawatankuasa pilihan berkaitan kementerian yang dinamakan mengandungi tidak lebih 12 orang ahli dilantik termasuk Pengerusi dan Naib Pengerusi.
Tambahnya, berdasarkan pindaan peraturan itu, sebarang RUU yang telah dibacakan untuk kali pertama wajib diteliti oleh jawatankuasa pilihan yang dibentuk.
“Persoalan kami, kenapa RUU Perolehan Kerajaan 2025 yang dibaca kali pertama pada Isnin lepas tidak dibawa ke jawatankuasa berkaitan Kementerian Kewangan iaitu Jawatankuasa Pilihan Kewangan seperti yang termaktub dalam peraturan tersebut.
“Terdapat empat Ahli Parlimen pembangkang di dalam jawatankuasa tersebut iaitu Putrajaya (Datuk Dr. Radzi Jidin), Bachok (Mohd. Syahir Che Sulaiman), Pendang (Datuk Awang Hashim) dan Gerik (Fathul Huzir Ayob).
“Sepatutnya RUU yang dibahas tadi (Perolehan Kerajaan 2025) ia dibawa ke sini (jawatankuasa) tapi tidak pernah dibawa. Apakah kerana Menteri Kewangan itu siapa atau apa? Kenapa tak bawa,” katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen hari ini.
Beliau berkata, ketika sesi penggulungan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berhubung RUU itu, dua Ahli Parlimen pembangkang bangkit mempersoalkan tindakan kerajaan tidak membawa perkara itu ke jawatankuasa pilihan yang dibentuk.
Bagaimanapun, keputusan Yang di-Pertua Dewan Rakyat (Tan Sri Johari Abdul) mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan Ahli Parlimen pembangkang sehingga menyebabkan mereka meninggalkan dewan.
“Apabila Yang Berhormat Beluran membangkitkan perkara sama dan meminta petua daripada Speaker, beliau mengatakan sepatutnya jawatankuasa ini minta daripada kementerian untuk dibentangkan.
“Dalam Parlimen ini istilahnya the owner of the bill atau tuan punya Rang Undang-Undang ini, siapa? Kementerian Kewangan jadi sepatutnya dialah kena bawa kepada jawatankuasa ini,” katanya.
Beliau berkata, sepatutnya RUU itu dibawa kepada jawatankuasa ditubuhkan selepas bacaan kali pertama untuk diteliti.
“Sebagai contoh dalam (RUU) URA (Pembaharuan Semula Bandar) Pengerusi jawatankuasa pilihannya tulis surat kepada Menteri minta bacaan kali kedua tidak diadakan (sebaliknya) buat lebih libat urus, tapi itu dia tidak ikut, namun sekurang-kurangnya dirujuk ke jawatankuasa.
“Jadi atas sebab itu kami Ahli Parlimen PN merasakan itu jawapan Tan Sri Speaker, jadi tak ada gunanya buat peraturan baharu yang hendak memperkasakan (Dewan Rakyat) sedangkan beliau ketua kepada peraturan ini.
“Beliau membuat tafsiran yang bagi kami menyeleweng dan juga mempunyai niat tersendirilah, ada mala fide kerana pemilik RUU ini Yang Amat Berhormat Tambun. Mungkin itulah sebabnya dibuat petua begitu,” katanya. – UTUSAN










