Pemandu lori didenda, tipu dua individu urus tuntutan Perkeso

Pemandu lori didenda, tipu dua individu urus tuntutan Perkeso

TERTUDUH, A. Ari, ketika hadir ke Mahkamah Sesyen Butterworth, Pulau Pinang hari ini atas dua pertuduhan iaitu memperdaya mangsa berhubung tuntutan Hilang Upaya Kekal (HUK) Perkeso.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUTTERWORTH : Seorang pemandu lori didenda RM97,200 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan pilihan iaitu memperdaya dua individu berhubung urusan tuntutan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), tahun lepas.

Hakim Zulhazmi Abdullah membuat keputusan itu selepas A. Ari, 37, mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan pilihan semasa sebutan kes, hari ini.

Zulhazmi pada masa yang sama turut memerintahkan supaya bekas penasihat tuntutan firma guaman itu didenda 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa menipu Muhammad Helmi Abd Rahman, 36, dengan memperdayakan beliau untuk mempercayai bahawa dia boleh menguruskan peratusan tafsiran penilaian Hilang Upaya Kekal (HUK) yang tinggi oleh Jemaah Doktor dalam tuntutan Perkeso sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM50,000.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada September 2023 di sebuah restoran di Seberang Jaya.

Bagi pertuduhan kedua pula, dia didakwa memperdaya seorang lagi lelaki, Mohammad Azrin Ibrahim, 29, dengan menggunakan modus operandi sama sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM47,200 kepadanya di lokasi yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Noor Azura Zulkiflee dan Nurnajihatul Idayu Mohd Azuyar memohon agar mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran terhadap tertuduh.

Peguam, S. Parameswaran yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon denda minimum susulan anak guamnya yang kini bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan antara RM4,000 hingga RM5,000 selepas dipecat daripada firma guaman.

Difahamkan, tertuduh kemudian membayar denda terbabit. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×