Pelajar senior pernah pukul, ikat pelajar di pokok - Rita Rudaini dakwa sekolah simpan kes 'bawah karpet'

Pelajar senior pernah pukul, ikat pelajar di pokok – Rita Rudaini dakwa sekolah simpan kes ‘bawah karpet’

RITA RUDAINI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Selebriti tanah air, Rita Rudaini mendedahkan salah sebuah sekolah yang pernah menjadi tempat anaknya belajar, turut mempunyai kes buli serius namun didakwa cuba disembunyikan oleh pihak sekolah berkenaan.

Menurut Rita, kejadian itu berlaku ketika anak sulungnya menuntut di Tingkatan Satu, apabila pelajar senior memanggil junior untuk sesi ‘roll call’ sebelum bertindak memukul serta mengikat seorang pelajar pada pokok sehingga mangsa tidak mampu berjalan.

“Bukan di tempat tertutup tetapi di kawasan terbuka.

“Bila ibu pelajar itu buat laporan polis, sekolah memujuk supaya menarik balik laporan dan akhirnya kes disimpan bawah karpet,” katanya dalam ruangan komen pada hantaran Instagram Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki hari ini.

Terdahulu, Asyraf Wajdi berkata, waktu awal-awal diberikan amanah sebagai Pengerusi MARA, banyak aduan dan maklum balas diterima daripada ibu bapa dan pelajar-pelajar institusi-institusi pendidikan Mara (IPMA) yang tidak mahu menghebahkan kes-kes berkaitan buli kerana kononnya mahu menjaga reputasi dan imej IPMA, manakala pengurusan takut terjejas mendapat anugerah kecemerlangan.

Dalam hal itu, beliau telah memberikan isyarat dan pengarahan yang jelas bahawa jika beliau sendiri peroleh maklumat ini, pasti akan mengambil tindakan tegas kepada pihak pengurusan IPMA termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM).

Menceritakan lanjut, Rita mendakwa, mana-mana pelajar yang bertindak mengadu kepada ibu bapa jika menjadi mangsa buli, pelajar terbabit akan kena lebih teruk.

“Siapa mengadu pada ibu bapa kena lagi teruk, kena palau (dipulaukan) dan menjadi sasaran dengan pelajar lain, warden dan cikgu-cikgu.

“Anak saya mereka tak berani sentuh kerana mereka tahu akan masuk surat khabar,” katanya.

Kejadian buli itu menyebabkan anaknya trauma hingga menyamakan suasana sekolah asrama tersebut seperti penjara meskipun berstatus sekolah agama.

Malah, beliau turut mendedahkan ada guru yang bertindak kasar dengan menghantukkan kepala pelajar ke papan tanda di depan anaknya.

Justeru, beliau meminta semua pihak terutama ibu bapa untuk tidak gentar untuk membuat laporan jika ada kes melibatkan buli.

“Sekarang saya dedahkan, saya tahu bila saya buka mulut, pasti ada yang mengecam. Tetapi ada saya peduli? Kalau ada cerita, tolong laporkan sebelum benda jadi lagi teruk,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN