TANJUNG MALIM: Pembangunan Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di daerah ini sebagai hab industri kenderaan tenaga (NEV) menawarkan peluang kepada pelajar Politeknik Sultan Azlan Shah (PSAS) menjalani latihan industri berkaitan automotif.
Selain latihan industri, mereka didedahkan dengan kursus-kursus berkaitan pembangunan perisian, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi mesra alam sekitar melibatkan kenderaan elektrik (EV) di Proton yang terletak di AHTV.
Menurut seorang pelajar PSAS, Ahmad Abrar Abqari Seypul Asmal, 20, kewujudan AHTV membolehkan pelajar berkaitan automotif sepertinya mendapat pendedahan yang luas terutamanya berkaitan kenderaan elektik (EV).
“Proton e.MAS kini merupakan antara kenderaan elektrik (EV) yang terlaris di negara ini. Ramai lepasan PSAS berkaitan automotif yang telah bekerja di Proton dan syarikat-syarikat vendor di AHTV sendiri.
“Berbekalkan ilmu yang dipelajari berkaitan sistem pengurusan dan kawalan elektrik, keselamatan, perisian dan teknologi hijau mesra berkaitan EV ,saya yakin dapat menyumbang kepada pembangunan AHTV dan Proton sebagai seorang jurutera perisian,” kata pelajar Diploma Kejuruteraan Mekatronik itu.
Ujarnya, Proton secara agresif membina kilang pemasangan EV yang bakal siap pada hujung tahun ini selain perpindahan penuh Proton di Tanjung Malim yang membolehkan daerah ini menjadi hab automotif utama di Asia Tenggara.
“Berbeza kerana saya telah lama menetap sejak kecil di Tanjung Malim. Pembangunannya amat pesat dan saya jangka lima tahun lagi bandar ini akan menjadi setaraf kawasan perindustrian utama negara seperti Pulau Pinang, Shah Alam dan Kulim.
“Anak tempatan tidak perlu lagi berhijrah ke tempat lain kerana banyaknya peluang pekerjaan selain mewujudkan peluang-peluang ekonomi seperti perniagaan makanan, rumah sewa dan perkhidmatan secara konsisten kelak,” katanya.
Perkembangan ini selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche Daerah Muallim sebagai Hab Inovasi Teknologi Automotif yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai daerah “Gerbang Automotif Negara dan Daerah Mesra Belia serta Mampan”.
Ini juga bertepatan dengan Flagship kelima Perak Sejahtera 2030 iaitu Program Pembolehdayaan Modal Insan dan Pembelajaran Sepanjang Hayat hasil cetusan berwawasan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad bagi membawa negeri ke arah kemajuan.
Pelajar Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan (Rekabentuk Automotif) dengan Kepujian PSAS, Khairul Alif Kholib, 22, berkata, peluang mengikuti latihan berkaitan EV di Institut Teknologi Tenaga Vokasional Yunnan, China selama dua minggu memberi pendedahan meluas kepadanya berkaitan industri yang berkembang pesat itu.
“Kira-kira 80 peratus pengguna di situ menggunakan EV dan terdapat jenis pemanduan autonomi (autonomous driving) yang bermakna kenderaan itu dapat bergerak sendiri tanpa penglibatan manusia dengan menggunakan data AI, sensor dan sistem maklumat geografi yang canggih dengan peratusan ketepatan yang tinggi.
“Kami (PSAS) turut mempunyai kereta seakan prototaip EV iaitu Proton Preve yang sebahagian besar telah diubah suai untuk mempelajari dan mencipta perisian berkaitan pemanduan, sistem brek, kaedah pengecasan, cip kuasa, data pintar dan ciri-ciri keselamatan yang dipertingkatkan,” katanya.
Tambah beliau, PSAS turut mempunyai stesen pengecas kenderaan elektrik di pekarangan politeknik itu sebagai komitmen mereka menyumbang kepada kesedaran awam kepentingan kenderaan itu yang menjimatkan kos, efisien dan mesra alam sekitar. – UTUSAN