Pejuang Selatan Thai sahut seruan Malaysia - Utusan Malaysia

Pejuang Selatan Thai sahut seruan Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NARATHIWAT: Pergerakan pe­juang kemerdekaan Selatan Thailand sedia menyahut seruan Malaysia untuk bersatu dan duduk semeja antara mereka sebelum menyambung rundi­ngan dengan Kerajaan Thailand seperti mana dicadangkan.

Pegawai Kanan Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP), Abu Hafez Al-Hakim berkata, usaha itu telah digerakkan untuk mencari kesepakatan dan membawa satu suara ke meja rundingan.

ABU HAFEZ AL-HAKIM

“Dalam perjuangan ini, tidak kiralah untuk merdeka atau bebas atau memperoleh peme­rintahan sendiri, langkah ini adalah sesuatu yang bagus dan perlu disokong.

“Kita perlu mencapai kata sepakat untuk membawa satu suara mewakili penduduk tiga atau lima wilayah Selatan Thailand ke meja rundingan de­ngan Kerajaan Thailand dalam isu keamanan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, Malaysia akan terus menggalas peranan sebagai pendamai dalam usaha meredakan ketegangan terutama keganasan di Selatan Thailand, sebagaimana dicadangkan oleh umat Islam di negara berkenaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau akan terus berikhtiar supaya proses damai itu berlangsung bagi membolehkan kawasan tersebut dibangunkan, sekali gus mampu membela nasib umat Islam dan bahasa Melayu.

Selatan Thailand merangkumi beberapa wilayah antaranya Patani, Yala dan Narathiwat.

Abu Hafez berkata, usaha menyatukan semua kumpulan pejuang turut dilakukan menerusi Majlis Syura Patani (MARA Patani) yang sebelum ini memayungi BIPP, Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO), Gerakan Mujahideen Islam Patani (GMPP) dan Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN).

Katanya, semua pihak perlu menyokong kesungguhan untuk menyelesaikan konflik Selatan Thailand.

Ditanya mengapa dalam rundingan damai yang diadakan dengan Kerajaan Thailand tidak melibatkan masyarakat umum, Abu Hafez berkata, proses pertama mesti melibatkan pergerakan pejuang terlebih dahulu.

Katanya, selepas rundingan itu berjaya baharulah boleh melibatkan masyarakat umum, pemimpin komuniti dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Sehingga sekarang belum ada undang-undang yang boleh menjadi pemangkin kepada kejayaan proses rundingan damai. Contohnya, jika perdamaian dipersetujui antara pergerakan pejuang dan kerajaan, maka perlu ada undang-undang yang diluluskan Parlimen untuk di­sahkan dan memperakui perjanjian damai,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN