Pejuang mahu tanding PRN Sabah

Pejuang mahu tanding PRN Sabah

MUKHRIZ Mahathir dalam sidang akhbar selepas Majlis Himpunan Pejuang Negeri Kelantan di Peringat, Kota Bharu, Kelantan.  - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berhasrat menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang bakal berlangsung pada bila-bila masa.

Hasrat itu dinyatakan Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang meyakini parti tersebut mampu meraih sokongan di beberapa tempat dan mempunyai beberapa tokoh untuk ditonjolkan di Sabah.

“Kita seboleh-bolehnya ingin menyertai PRN Sabah. Saya tidak kata kita boleh bertanding di banyak kerusi tetapi yakin ada beberapa tempat dan beberapa tokoh boleh ditonjolkan di Sabah.

“Bukannya kami ini tiada kekuatan langsung, malah sebenarnya keahlian Pejuang di Sabah agak besar,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Himpunan Pejuang Negeri Kelantan di Peringat, di sini hari ini.

Mukhriz turut menyatakan agak terkejut dengan sokongan serta penerimaan rakyat Sabah terhadap kehadiran Pejuang di negeri itu.

“Kita ingat parti ini dianggap sebagai sebuah parti politik Malaya dan sebagainya di Sabah tetapi nampaknya penerimaan terhadap Pejuang sangat tinggi di negeri itu,” ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, Pejuang yakin hasrat untuk menjalinkan hubungan kerjasama dengan Pas secara khusus dan Perikatan Nasional (PN) umumnya bakal diterima baik oleh semua pihak terlibat.

Beliau berasakan sudah ada ruang untuk merealisasikan hasrat pembentukankerjasama atau penggabungan Pejuang dan PN selepas dua perbincangan bersama Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin menampakkan penerimaan positif.

“Di peringkat Pusat saya rasa sudah ada ruang untuk menjayakan hasrat untuk Pejuang bekerjasama atau bergabung dengan Pas dan PN walaupun belum di mukatamadkan.

“Saya rasa penerimaannya jauh lebih baik berbanding setahun atau dua tahun lalu apabila sudah ada hati terbuka bukan hanya untuk berbincang tetapi bergerak bersama,” katanya.

Mukhriz memberitahu, beliau sudah boleh membayangkan sekiranya ada pilihanraya kecil, negeri atau umum, Pejuang mungkin sudah boleh bergerak dan berjuang bersama wakil-wakil PN.

“Saya mempunyai keyakinan hasrat kerjasama ini bakal diterima baik oleh pemimpin Pas bukan hanya di peringkat pusat malah di peringkat negeri dan hari ini saya akan mengadakan kunjungan hormat kepada Pesuruhjaya Pas, Datuk Ahmad Yakob untuk membincangkannya.

“Kami mendukung idea Pengerusi PN untuk mewujudkan perikatan politik nasional yang mempunyai sedikit kelonggaran dan yakin mampu menjadi nilai tambah kepada PN di kawasan-kawasan bandar atau pinggir bandar, di luar negeri Kedah, Kelantan, Terengganu serta Perlis,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN