IPOH: Pejabat Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Paduka Seri Sultan Perak menafikan video tular yang mendakwa Istiadat Perkahwinan Diraja Perak akan berlangsung di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar dari 7 hingga 17 Ogos ini.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Perak, Meor Hezbullah Meor Abd Malik berkata, dakwaan menerusi akaun TikTok berkaitan peruntukan bulanan sebanyak RM800 untuk rakyat Perak dan Sabah juga tidak benar dan dikhuatiri akan menimbulkan kekeliruan kepada masyarakat.
Sehubungan itu beliau berkata, satu laporan polis dibuat oleh Pejabat DYMM Paduka Sultan Perak pada 31 Julai lalu bagi melindungi nama Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, kerabat diraja dan Istana Perak daripada dicemari pihak tidak bertanggungjawab.
“Pejabat DYMM tidak mengenali dan tidak ada sebarang hubungan dengan pemilik akaun TikTok tersebut.
“Pejabat DYMM juga tidak melantik mana-mana pihak atau pemilik akaun media sosial sebagai jurucakap Istana Perak untuk sebarang majlis termasuk majlis perkahwinan diraja,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.
Menurut beliau, tiada sebarang liputan siaran langsung majlis akad nikah untuk tontonan umum dan tiada majlis persandingan diraja akan berlangsung di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar pada pukul 11.30 pagi, Khamis ini.
Malah katanya, tiada sebarang aktiviti melibatkan pasangan diraja ke Tamparuli, Sabah pada 17 Ogos depan.
“Perbuatan tidak bertanggungjawab menyebarkan maklumat palsu ini hendaklah dihentikan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat sekali gus melindungi nama baik Istana Perak,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial video berdurasi 58 saat berkaitan Istiadat Perkahwinan Diraja Perak yang dimuat naik pemilik akaun TikTok menggunakan nama The King.
Video itu menyatakan Majlis Persandingan Diraja akan berlangsung di Istana Iskandariah di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 7 sehingga 17 Ogos ini manakala siaran langsung melalui Astro pula pada 7 Ogos pukul 11.30 pagi.
Video itu juga menyebut urusan ke Tamparuli, Sabah pada 17 Ogos ini untuk pasangan diraja selain peruntukan bulanan sebanyak RM800 akan diumumkan secara rasmi oleh baginda untuk rakyat Perak dan Sabah. – UTUSAN