Pegawai, dua anggota didakwa terima rasuah, tidak ambil tindakan terhadap lori sawit - Utusan Malaysia

Pegawai, dua anggota didakwa terima rasuah, tidak ambil tindakan terhadap lori sawit

TGA anngota polis, Mohd. Rahmee Mohd. Top (kiri) Deris Jerman (dua, kiri) dan Taufiyqul Hakim Mohd. Zaki (belakang) dibawa ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini, atas dakwaan menerima rasuah. - UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang pegawai dan dua anggota polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM12,300 agar tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori sawit pada November 2023.

Ketiga-tiga tertuduh, Deris Jerman, 43; Mohd. Fahmee Mohd. Top, 37, dan Muhammad Taufiyqul Hakim Mohd. Zaki, 29, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Deris yang merupakan Inspektor bersama Mohd. Fahmee iaitu seorang Koperal didakwa atas lima pertuduhan telah bersetuju menerima dan memperoleh rasuah daripada tiga individu sebagai dorongan agar tidak menyita lori dan tidak menjalankan siasatan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 26, Jalan Nitar, Mersing dan Maybank Cawangan Mersing antara pukul 3 petang hingga 5.52 petang pada 30 November 2023.

Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Sementara itu, Muhammad Taufiyqul yang berpangkat Lans Koperal pula didakwa meminta wang suapan RM800 agar tidak menyita lori dan tidak menjalankan siasatan bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Kilometer 26, Jalan Nitar, Mersing pada pukul 12.30 petang, 19 November 2023. Atas kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda atau RM10,000 yang mana lebih tinggi.

Semasa rayuan, peguam mewakili kesemua tertuduh, Mohd. Azlan Shah Mohd. Allias memohon mahkamah memberi jaminan minimum kepada ketiga-tiga tertuduh kerana mereka tidak berisiko melarikan diri kerana masih lagi berkhidmat.

“Deris telah berkhidmat selama 25 tahun dan pernah menerima anugerah perkhidmatan cemerlang, manakala Mohd. Fahmee telah berkhidmat selama 17 tahun, selain Muhammad Taufiyqul selama sembilan tahun.

“Mereka semua sudah berkahwin dan mempunyai tanggungan ahli keluarga, mereka beri kerjasama baik sepanjang siasatan dibuat pihak SPRM,” ujarnya.

Mahkamah kemudian menetapkan Deris dan Mohd. Fahmee dibenar ikat jamin sebanyak RM10,000 masing-masing, manakala Muhammad Taufiyqul sebanyak RM6,000.

Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan tarikh 30 September bagi sebutan semula kes dan penyerahan dokumen. Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Alice Voon Mei Ling. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN